Monday, November 16, 2009

Hadiah Malam Jumaat




(Pengalaman Salih Al Mazi)
 
Pada suatu malam bertepatan malam Jumaat Salih Al Mazi pergi ke masjid jamik untuk mengerjakan solat subuh.
 
Kebiasaannya ia berangkat awal sebelum masuk waktu subuh dan melalui sebuah pekuburan. Di situ Salih duduk sekejap sambil membaca apa-apa yang boleh mendatangkan pahala bagi ahli kubur memandangkan waktu subuh masih lama lagi. Tiba-tiba dia tertidur dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar beramai-ramai dari kubur masing-masing.
 
Mereka duduk dalam kumpulan-kumpulan sambil berbual-bual sesama mereka. Al Mazy ternampak seorang pemuda ahli kubur memakai baju kotor serta tidak berkumpul dengan ahli-ahli kubur yang lain. Dia duduk seorang diri di tepi kuburnya dengan wajah murung, gelisah kerana sedih.
 
Tidak berapa lama kemudian datang malaikat membawa beberapa talam yang ditutup dengan saputangan. seolah-olah seperti cahaya yang gemerlapan. Malaikat mendatangi para ahli kubur dengan membawa talam-talam itu, tiap seorang mengambil satu talam dan dibawanya masuk ke dalam
kuburnya.Semua ahli kubur mendapat satu talam seorang sehingga tinggallah si pemuda yang kelihatan sedih itu seorang diri tidak mendapat apa-apa. Dengan perasaan yang sedih dan duka dia bangun dan masuk semula ke dalam kuburnya.
 
Tapi sebelum dia masuk Al Mazy yang bermimpi segera menahannya untuk bertanyakan keadaannya. “Wahai hamba Allah ! Aku lihat engkau terlalu sedih mengapa ?” tanya Salih Al Mazy. “Wahai Salih, adakah engkau lihat talam-talam yang dibawa masuk oleh malaikat sebentar tadi ?” tanya pemuda itu.
“Ya aku melihatnya. Tapi apa benda di dalam talam-talam itu ?” tanya Al
Mazy lagi.
 
Si pemuda menerangkan bahwa talam-talam itu berisi hadiah orang-orang yang masih hidup untuk orang-orang yang sudah mati yang terdiri dari pahala sedekah, bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan doa. Hadiah-hadiah itu selalunya datang setiap malam Jumaat atau pada hari Jumaat. Si pemuda kemudian menerangkan tentang dirinya dengan panjang lebar. Katanya dia ada seorang ibu yang masih hidup di alam dunia bahkan telah berkahwin dengan suami baru. Akibatnya dia lupa untuk bersedsekah untuk anaknya yang sudah meninggal dunia sehingga tidak ada lagi orang yang mengingati si pemuda. Maka sedihlah si pemuda setiap malam dan hari jumaat apabila melihat orang-orang lain menerima hadiah sedangkan dia seorang tidak menerimanya.
 
Al-Mazy sangat kasihan mendengarkan cerita si pemuda. lalu ia bertanya nama dan alamat ibunya ia dapat menyampaikan keadaan anaknya. Si pemuda menerangkan sifat2 ibunya. Kemudian Al Maizy terjaga.
 
Pada sebelah paginya Al Maizy terus pergi mencari alamat ibu pemuda tersebut.Setelah mencari kesana kemari beliaupun berjumpa ibu sip pemuda tersebut lantas menceritakan perihal mimpinya. Ibunya menangis mendengar keterangan Al maizy mengenai nasib anaknya yang merana di alam barzah. Kemudian ia berkata  quot;wahai salih ! Memang betul dia adalah anakku. Dialah belahan hatiku, dia keluar dari dalam perutku. Dia membesar dengan minum susu dari dadaku dan ribaanku inilah tempat dia berbaring dan tidur ketika kecilnya.”
 
Al Maizy turut sedih melihat keadaan ibu yang meratap dan menangis penuh penyesalan kerna tidak ingat untuk mendoakan anaknya selama ini. “Kalau begitu saya mohon minta diri dahulu.” Kata Al maizy lalu bangun meninggalkan wanita tersebut. Tatkala dia cuba untuk melangkah si ibu
menahannya agar jangan pulang dahulu. Dia masuk kedalam biliknya lalu keluar dengan membawa wang sebanyak seribu dirham.
 
“Wahai Salih, ambil wang ini dan sedekahkanlah untuk anakku, cahaya mataku. Insya Allah aku tidak akan melupakannya untuk berdoa dan bersedekah untukya selama aku masih hidup.” Salih Al Maizy mengambil wang itu disedekahkannya kepada fakir miskin sehingga tidak sesenpun dari seribu dirham itu yang tinggal. Dilakukannya semua itu sebagai memenuhi amanah yang diberi kepadanya oleh ibu pemuda tersebut.
 
Pada suatu malam Jumaat di belakang selepas itu, Al Maizy berangkat ke masjid jamik untuk solat jamaah. Dalam perjalanan sebagaimana biasa ia singgah di perkuburan. Di situlah ia terlena sekejap dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar dari kubur masing2. Si pemuda yang dulunya kelihatan
sedih seorang diri kini keluar bersama-sama dengan memakai pakaian putih yang cantik serta mukanya kelihatan sangat gumbira. Pemuda tersebut mendekati Salih Al Maizy seraya berkata :
 
“Wahai tuan Salih, aku ucapkan terima kasih kepadamu. Semoga Allah membalas kebaikanmu itu.” “Hadiah dari ibuku telah ku terima pada hari jumaat.” katanya lagi.
 
“Eh, Engkau boleh mengetahui hari Jumaat ?” tanya Al Maizy. “Ya, Tahu.” “Apa tandanya ?” “Jika burung-burung di udara berkicau dan berkata “Selamat, selamat pada hari yang baik ini, iakni hari Jumaat.”
 
Salih Al Maizy terjaga dari tidurnya.Ia cuba mengingati mimpinya dan merasa gumbira kerana sipemuda telah mendapat rahmat dari Allah disebabkan sedekah dan doa dari ibunya.
 
Wallahualam

Lima Maksiat Yang Disegerakan Balasannya



Daripada Ibnu Omar r.a. berkata : Berhadap Rasulullah saw kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda “Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara-perkara itu ialah :-
1. Tiada terzahir (nampak) penzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha’un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.
2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.

3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.
4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian dari pada apa yang ada di tangan mereka.
5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat itu) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri.”
(Hadith riwayat Ibnu Majah)
Keterangan :
Hadith ini menerangkan bahawa :
1. penyakit taun dan Aids adalah berpunca dari banyak berlakunya penzinaan.
2. kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.
3. kemarau panjang adalah berpunca dari tidak mengeluarkan zakat
4. kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (seperti hilangnya Tanah Palestin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah swt
5. Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalah berpunca daripada mengenepikan hukum-hukum Allah swt dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.
Kitab rujukan : 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi) terbitan Khazanah Banjaria

Cara membuang virus daripada USB Drive


Salah satu cara virus untuk merebak ialah dengan menggunakan peranti USB (USB Drive). Virus yang biasanya berjangkit melalui kaedah ini adalah seperti ’Ravmon’ , ‘New Folder.exe’, ‘Orkut is banned’ dan sebagainya.

Kebanyakan antivirus tidak dapat mengesan virus ini dan jika ada pun, ia mungkin tidak dapat dipadamkan daripada sistem. Jika ada simptom-simptom yang menunjukkan komputer anda telah dijangkiti oleh virus-virus seumpamanya sila ikuti langkah-langkah berikut :


1. Apabila anda memasukkan peranti USB ke komputer anda biasanya akan terpapar antaramuka seperti dibawah



2. Jangan Klik OK tetapi klik pada Cancel. 

 
3. Buka Command Prompt (Klik pada Windows, Run dan taip CMD)



4. Pada Command Prompt tersebut, taipkan drive letter: dan tekan Enter



5. Kemudian taip pula  dir /w/a dan tekan Enter. Ini akan memaparkan senarai fail yang terdapat didalam peranti USB tersebut.



6. Perhatikan jika ada fail-fail yang anda rasa mengandungi virus

  • Autorun.inf
  • Ravmon.exe
  • New Folder.exe
  • svchost.exe
  • Heap41a
  • Dan lain-lain

Jika ada fail-fail seperti diatas, kemungkinan peranti USB anda telah dijangkiti.



7. Masih didalam Command Prompt, Sila taipkan attrib -r -a -s -h *.* dan tekan Enter untuk memadam fungsi Read Only, Archieve, System dan hidden file.


8. Gunakan arahan Del untuk memadam fail yang dijangkiti. Sebagai contoh anda boleh taipkan  Del  ravmon.exe.



Punca utama  peranti USB anda dijangkiti virus ialah melalui  fungsi  autorun yang terdapat didalam komputer apabila peranti tersebut dimasukkan kedalam port USB. Anda boleh menyahaktifkan (Disable) fungsi tersebut dengan menggunakan software TweakUI dibawah :












 








Rodem - kerusi roda generasi akan datang


http://maxx.my/image/rodem-wheelchair3.jpg

Sekumpulan ahli penyelidik daripada Pusat Kajian dan Pembangunan Teknologi Robotik Veda di Jepun telah mencipta sebuah kerusi roda untuk golongan tua.

Teknologi tersebut membolehkan golongan sasaran tersebut untuk naik dan turun daripada kenderaan yang dinamakan Rodem itu tanpa bantuan daripada sesiapa dan memberikan mereka kebebasan untuk bergerak.

http://maxx.my/image/rodem-wheelchair2.jpg  

Ia merupakan produk pertama yang dihasilkan oleh Veda sejak ia dibuka pada bulan Mei.

Masih tiada cadangan yang dibuat untuk tujuan pemasaran kerana ia perlu dirujuk dahulu kepada Jabatan Kesihatan Jepun

Cool Rider berkelajuan 12 mph



Jika anda ingin satu gadget yang lebih murah daripada Segway, Cool Rider mungkin adalah jawapannya. Gadget yang berkelajuan 12 mph ini boleh digunakan selama satu jam untuk sekali cas.

Proses mengecas dilakukan dengan mencabut bateri daripada alat ini dan diplagkan pula kepada soket dinding..





Bahagian belakang pemijak untuk kita berdiri pula boleh ditanggalkan seperti di dalam gambar di bawah.






Friday, November 13, 2009

Persoalan mengenai puasa



1) Bagaimanakah niat puasa sunat dan niat qada puasa?
- Niat merupakan azam untuk melakukan sesuatu ibadat, dan letaknya di hati. Jika anda berazam ingin melakukan qadha’ puasa sebelum menjelang fajar, maka itulah yang dikatakan niat. Ini sudah memadai dan tidak perlu melakukan lafaz niat.

2) Apakah hukum berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika mengambil wuduk di bulan puasa?
- Imam al-Bukhari didalam sahihnya menyatakan hadith :-

إذا توضا فليستنشق بمنخره الماء
“Apabila seseorang mengambil wudhu’ maka hendak beristinsyaq (masuk air kedalam hidung)” – bermaksud ‘Tidak dibezakan diantara orang yang berpuasa dan tidak berpuasa’ (Fath al-Bari, 7/62). Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut bahawa ada dikalangan salaf mengatakan ia tidak membatalkan puasa tetapi perbuatan tersebut dilarang.

3) Benarkah pernyataan seperti di bawah ini:

a) Menelan air liur tidak batal puasa kecuali air liur di antara 2 bibir?
- Benar, Menelan air liur didalam mulut tidak membatalkan puasa. Ibn Qudamah mengatakan bahawa perkara ini agak sukar dielakkan sepertimana debu dijalan atau dilantai (al-Mughni 3/16). Jika lidah yang mengandungi air liur terjulur keluar sebentar dan masuk kembali, ia tidak membatalkan puasa, oleh kerana pergerakan lidah dikira sebagai sebahagian dari pergerakan mulut.(Haashiyat Qalyoobi, 2/72).

- Menurut Mazhab Syafie, air liur yang diluar mulut atau berada diantara 2 bibir menelannya boleh membatalkan puasa, kerana perkara ini boleh dielakkan.

b) Menelan hingus/kahak batal puasa kerana ianya boleh dihindar?
- Tidak batal puasa menurut Lajnah al-Daa’imah (1/270) kerana hukum menelan lendir hingus semasa puasa adalah sama hukum telan air liur. Ulama’ menasihatkan agar lendir (mucus) tersebut dikeluarkan kerana menurut Sheikh Utsaimin lendir ini sebagai sesuatu benda yang kotor, dan tidak wajar ditelan.

c) Menggosok gigi, miswak dan berkumur tidak batal puasa asalkan tidak sampai masuk ke dalam perut?
- Tidak batal puasa kalau bersiwak, menggosok gigi atau berkumur dengan syarat tidak menelan air tersebut. Syiekh bin Baaz mengatakan boleh menggunakan ubat gigi asalkan dapat mengelak dari menelannya (Fataawa Bin Baaz, 4/247). Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan, lebih elok memberus gigi diwaktu malam (Al-Sharh al-Mumti, 6/407, 408).

d) Masuk air ke dalam telinga tidak batal puasa?
- Syiekh Ibn Taimiyah mengatakan bahawa menggunakan ubat mata (eyedrops) dan ubat telinga (eardrops) tidak membatalkan puasa (Majmu’ Fataawa, 25/233, 25/245).

e) Keluar mani kerana mimpi ketika tidur di siang hari bulan puasa, tidak batal puasa tetapi kena mandi wajib?
- Syiekh Ibn Qudaamah menyatakan bahawa :’Jika seseorang mengalami mimpi sehingga terkeluar mani tidak membatalkan puasa, kerana ini merupakan tindakan tidak sengaja dari pihaknya; sama seperti kes sesesuatu yang yang keluar dari tekaknya semasa di sedang tidur’ (al-Mughni, 3/22). Maka hendaklah dia meneruskan puasa dan mandi (wajib) menghilangkan janabah.

f) Utk menggantikan puasa Ramadhan yg ditinggalkan dahulu, memadai dgn qada saja, tidak perlu bayar fidyah?
- Pendapat ini (Qadha’ tanpa fidyah) didokong oleh al-Nakha’i, Abu Hanifah dan sahabat2nya. Syiekh Dr Yusuf al-Qardhawi dialam kitab Fiqh al-Shiyam mengatakan bahawa hukum mengqadha’ dan membayar fidyah tidaklah datang dari dalil yang sahih dan hanya melalui atsar para sahabat. Hendaklah kita mengambil dari sahabat perkara2 yang berkenaan dengan sunnah dan bukan perkara wajib, sebab yang wajib memerlukan dalil dari Rasulullah saw.

g) Boleh berpuasa di Hari Syak jika ianya kebetulan jatuh pada hari kebiasaan kita berpuasa sunat seperti puasa sunat hari Isnin dan Khamis?
- Dr Mustafa al-Bugha (Fiqh al-Manhaji, 1/361) mengatakan bahawa tidak boleh berpuasa pada hari syak, sebagaimana dithabitkan dari hadith Abu Daud #2334 dan al-Tirmudzi (686) :-

وقال عمار بن ياسر من صام اليوم الذي يُشك فيه فقد عصى أبا القاسم صلى الله عليه وسلم
“Ammar ibn Yaasir berkata : barangsiapa berpuasa pada hari syak oleh manusia maka dia telah mengkianati Abu al-Qaasim (Rasulullah saw)”

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata :”difahami dari perkara ini bahawa adalah haram berpuasa pada hari syak, kerana Sahabat tidak akan berkata demikian berdasarkan pandangan pribadi, maka riwayat yang sedemikian mempunyai status yang sama dengan marfu’ hadith.”

WA. wassalam



Anemia ancam janin



ISTILAH darah cair atau kepekatan darah rendah biasanya merujuk kepada keadaan darah bagi wanita hamil yang mengalami anemia atau masalah kekurangan darah.

Meskipun anemia bukan penyakit, ia perlu dirawat bagi mengelak risiko masalah kesihatan kepada ibu atau anak dalam kandungan.

Antara langkah mudah mengatasinya ialah menjaga pemakanan dan mengambil pil vitamin yang diberi khusus untuk wanita hamil.

Memang diakui ramai wanita hanya mengambil pil vitamin untuk beberapa bulan kerana percaya dakwaan sesetengah pihak bahawa ia membuatkan anak dalam kandungan menjadi besar.


Sebenarnya dakwaan itu tidak tepat kerana pil itu adalah pil multivitamin yang mengandungi banyak zat besi; iaitu bahan penting untuk memastikan wanita hamil tidak mengalami masalah kekurangan darah.

Kekurangan darah bukan saja menyebabkan keletihan melampau tetapi lebih membimbangkan ia boleh mengakibatkan keguguran, mudah mendapat jangkitan dan bersalin tidak cukup bulan.

Dianggarkan satu daripada lima orang mengalami masalah kurang sel darah merah yang menyebabkan mereka mudah letih, kulit menjadi pucat, sukar menumpukan perhatian, sering sakit kepala, jantung berdegup cepat, tercungap-cungap, pening dan pada kes teruk, seseorang boleh pitam secara tiba-tiba.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, kadar kelaziman anemia paling tinggi berlaku di kalangan penduduk Asia Tenggara iaitu 57 peratus.

Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2007 mendapati, 38 peratus wanita Malaysia mengalami masalah kekurangan darah dan 84.8 peratus tidak mendapat cukup asid folik iaitu satu daripada vitamin B yang membantu badan menghasilkan sel baru, termasuk sel darah merah.

Kadar kelaziman anemia di kalangan wanita hamil juga tinggi iaitu sehingga 35 peratus, tetapi kebanyakannya dikategorikan sebagai anemia ringan dan masalah ini lebih kerap berlaku pada wanita India dan Melayu.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Norleen Mohd Salleh, berkata kebanyakan wanita mengalami anemia ketika mengandung dan 90 peratus kes disebabkan kekurangan zat besi.

Ini sebabnya wanita hamil disaran menjaga pemakanan dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran, terutama sayur berdaun hijau, kekacang, daging merah dan makanan yang diperkaya zat besi.

Oleh kerana gejala anemia sangat umum, ramai tidak menyedari mereka mengalami masalah ini. Biasanya bagi wanita hamil, ujian dilakukan pada kunjungan pertama ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan kehamilan.

Anemia ialah keadaan kekurangan sel darah merah atau hemoglobin iaitu protein yang memberi warna merah kepada sel darah.

Ia adalah masalah yang sangat biasa dan boleh berlaku kepada sesiapa saja, terutama wanita, kerana mereka didatangi haid setiap bulan. Jarang lelaki mengalami anemia, kecuali jika mereka menghidap penyakit.

Selain itu, hemoglobin berfungsi sebagai membawa oksigen daripada paru-paru ke semua sel dan organ dalam badan. Kekurangan sel darah merah bermakna kita kekurangan hemoglobin dan akibatnya sel di dalam badan tidak menerima cukup oksigen.

Keadaan ini memaksa paru-paru dan jantung bekerja lebih kuat untuk memasukkan lebih banyak oksigen ke dalam darah. Ini menyebabkan individu anemia tercungap-cungap selepas melakukan kerja ringan.

Justeru, untuk memiliki sel darah sihat, kita memerlukan buah pinggang, hempedu dan sumsum tulang yang sihat kerana di sinilah sel darah dihasilkan.

Apabila sel darah merah kurang, paras hemoglobin juga rendah. Paras hemoglobin yang normal ialah antara 13.8 to 17.2 gm/dL bagi lelaki dan 12.1 to 15.1 gm/dL bagi wanita.

Individu yang paras hemoglobinnya kurang 13 gm/dL (lelaki) dan 12 mg/dL (wanita) dianggap mengalami masalah anemia. Secara umumnya, rata-rata lelaki Malaysia mempunyai paras hemoglobin antara 12 hingga 13 gm/dL dan wanita pula sekitar 11 gm/dL.

Angka ini sangat penting kerana setiap penurunan satu peratus paras hemoglobin meningkatkan risiko kematian sebanyak 10 peratus, terutama pada wanita hamil.

“Ramai orang tidak faham bagaimana kehamilan boleh menyebabkan anemia. Sebenarnya ketika hamil, isipadu darah bertambah 50 peratus, menyebabkan kepekatan darah berkurang. Ini sebabnya sesetengah kakitangan perubatan menggunakan istilah darah cair bagi memudahkan pemahaman.

“Ia dipanggil anemia ketika hamil dan yang perlu dilakukan hanya menjaga pemakanan dengan melebihkan pengambilan sumber zat besi.

“Perkara ini juga disebabkan peningkatan permintaan untuk bekalan darah oleh janin dan keperluan semula jadi si ibu,” katanya pada forum kesihatan pengurusan anemia anjuran bersama Pusat Perubatan Sunway.

Kekurangan zat besi ketika hamil berlaku kerana janin menggunakan sel darah merah ibu untuk pertumbuhan dan pembentukan organnya, terutama pada bulan ketiga terakhir kehamilan. Jika si ibu ada bekalan sel darah merah berlebihan sebelum hamil, janin boleh menggunakannya.

Jika tidak, seseorang wanita mengalami anemia kekurangan zat besi ketika hamil. Biasanya individu anemia kehilangan empat hingga 10 miligram zat besi ketika haid dan 500 miligram zat besi apabila hamil.

Punca anemia

Punca anemia ada banyak, tetapi ia dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu primer (diwarisi) dan sekunder (diperolehi), kata Perunding Perubatan dan Hematologi, Dr Vijaya Sangkar Jaganathan.

a. Punca primer (diwarisi)

# Kecacatan membran

# Kecacatan globin (seperti pesakit talassemia alfa dan beta)

# Kecacatan enzim (seperti enzim G6PD)

b. Punca sekunder (diperolehi)

# Pemakanan

# Kehilangan darah

# Pendarahan dari faraj atau dubur disebabkan penyakit

# Kegagalan sumsum tulang

# Kanser

# Penyakit kronik

# Ulser dan pendarahan dalam perut

# Kesan sampingan ubat

# Penyakit autoimun

# Jangkitan

# Kehamilan terlalu kerap

Kumpulan berisiko alami anemia

# Wanita hamil (30 peratus wanita hamil alami masalah kekurangan darah)

# Kanak-kanak kecil kurang dari dua tahun

# Remaja perempuan, terutama yang baru datang haid

# Orang tua (60 tahun ke atas)

# Atlit perempuan

# Vegetarian vegan (yang amalkan pemakanan yang sangat terhad)

# Individu yang ada penyakit menyebabkan penyerapan zat besi terjejas atau disertai kehilangan darah

# Penyakit keradangan usus

# Ulser usus disebabkan jangkitan bakteria Helicobacter pylori

# Kehilangan darah yang kronik

Bagaimana untuk tahu sama ada kita anemia atau tidak?

Gejala anemia agak umum dan mengambil masa panjang untuk dilihat. Gejala paling jelas ialah keletihan walaupun melakukan kerja ringan dan najis berwarna gelap atau kehitaman (menandakan kehadiran darah) serta sangat berbau. Antara gejala lain ialah:

# Kulit pucat

# Lemah seluruh badan

# Selalu pening

# Jantung berdegup lebih pantas atau tidak normal

# Sakit kepala

# Sesak nafas dan tercungap-cungap ketika melakukan kerja

# Tangan dan kaki berasa kebas

# Keadaan di atas mungkin jadi lebih teruk jika hamil

# Lidah menjadi licin

# Ulser di tepi mulut yang menyebabkan rasa sakit

# Kuku menjadi kering, terkopek atau berbentuk seperti sudu

Apa bahayanya anemia pada wanita hamil?

Menurut Dr Norleen, anemia menyebabkan komplikasi kepada ibu dan anak. Komplikasi pada ibu berlaku sepanjang kehamilan, ketika bersalin dan selepas melahirkan anak iaitu:

a. Komplikasi ketika hamil

# Keguguran

# Peningkatan berat badan yang sangat sedikit

# Bersalin tidak cukup bulan

# Anak mati dalam kandungan

# Jangkitan

b. Ketika bersalin

# Sukar melahirkan anak

# Risiko tindak balas badan terhadap ubat bius

# Kegagalan jantung

c. Selepas bersalin

# Pendarahan

# Aliran darah tersekat (akibat kehadiran darah beku atau bahan lain seperti gelembung udara, lemak atau air ketuban)

# Pereputan tisu

d. Risiko pada bayi

# Kelahiran pra matang (tidak cukup bulan)

# Tidak cukup berat

# Bayi gagal atau lambat membesar

# Bayi perlukan bantuan pernafasan berpanjangan

# Penilaian Apgar (aktiviti dan bentuk otot, denyut nadi, tindak balas kerengsaan, warna kulit dan pernafasan) yang rendah

Diagnosis dan rawaan

Kata Dr Vijaya, pengesahan anemia sangat mudah iaitu melalui ujian darah untuk mengetahui kiraan penuh sel darah. Hanya dalam keadaan tertentu doktor perlu melakukan ujian lanjutan, terutama bagi yang ada masalah keturunan.

“Anemia bukan penyakit tetapi keadaan yang perlukan rawatan untuk membolehkan seseorang hidup sihat. Jika dibiarkan, anemia mengancam nyawa seseorang, terutama jika menjadi serius.

“Rawatan bergantung kepada punca masalah. Jika puncanya dirawat, individu berkenaan akan sembuh daripada masalah ini kecuali jika membabitkan punca keturunan seperti talassemia, kekurangan enzim G6PD atau penyakit autoimun.

“Pemindahan darah dilakukan jika terpaksa, tetapi ia hanya penyambung kepada rawatan dan bukan rawatan khusus bagi anemia. Selain vitamin, sama ada dalam bentuk pil atau cecair yang disuntik ke dalam salur darah atau otot, seseorang perlu menjaga pemakanannya. Sayur-sayuran hijau seperti kangkung dan bayam baik untuk orang anemia kerana ia mengandungi banyak zat besi,” katanya.

Bagi wanita hamil, mereka diberi pil zat besi yang turut mengandungi asid folik yang memberi kesan segera. Kedua-dua bahan ini sangat penting untuk perkembangan janin, jadi jangan buang pil vitamin yang diberi doktor.

Pil zat besi tidak boleh diambil bersama makanan daripada gandum kerana ia mengurangkan keupayaan badan menyerap zat besi.

Dr Norleen berkata, suntikan zat besi hanya diberi jika pil tidak berkesan atau wanita mengalami alahan. Bagaimanapun, kesannya agak lambat (dua minggu) dan ia menyakitkan.

“Zat besi boleh diperoleh daripada daging, ayam, itik, ikan, bijirin, sayur-sayuran berdaun hijau dan buah-buahan kaya vitamin C. Elak makanan mengandungi asid fitik dan tanik seperti roti rye, kopi, teh, kola dan coklat kerana ia menghalang penyerapan zat besi daripada makanan.

“Walaupun disaran makan secukupnya, jangan pula ada yang mengambil pendekatan makan untuk dua orang. Konsep ini salah kerana ia menyebabkan masalah kegemukan yang lebih sukar diatasi,” katanya.



10 gelas air sehari


ANTARA saranan asas yang sering diberikan pakar perubatan dan pemakanan ialah minum banyak air iaitu sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas atau dua liter sehari untuk mengekal dan meningkatkan kesihatan.

Bagaimanapun, untuk minum air sebanyak itu bukan mudah kerana ia bermakna kita kerap berulang ke tandas dan bagi sesetengah orang, terutama yang berumur, ia sungguh menyusahkan dan dianggap masalah atau gangguan.

Malah, ada orang bimbang mereka mengalami masalah kesihatan tertentu jika kerap buang air kecil. Pada kebiasaannya, pundi kencing dikosongkan setiap empat jam. Jadi buang air kecil enam hingga tujuh kali sehari adalah perkara normal bagi individu sihat yang minum air secukupnya.

Pundi kencing bertindak sebagai tempat menyimpan air kencing dan boleh mengembang untuk menampung sehingga 350 hingga 550 militer air kencing.
 

Kita biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 200 mililiter, tetapi kapasiti normal ialah sekitar 400 mililiter. Yang tidak normal ialah jika anda kerap bangun malam untuk buang air kecil.

Kerap buang air kecil pada siang adalah perkara baik kerana ia proses semula jadi untuk menyingkirkan sisa toksik dan bahan buangan dari badan.

Minum air sekurang-kurangnya lima gelas sehari boleh mengurangkan risiko kanser usus sebanyak 45 peratus, kanser payudara (79 peratus) dan kanser pundi kencing (50 peratus).

Walaupun tahu kepentingan dan manfaat air, tidak ramai sanggup berulang alik ke tandas. Mereka bukan saja minum sedikit, tetapi turut mengelak makanan yang mengandungi banyak air. Sumber air kita datang daripada minuman (47 peratus), makanan (39 peratus) dan proses metabolisme di dalam sel (14 peratus).

Menurut Pakar Air Bertauliah Persatuan Kualiti Air (WQA), Michael Long, kekurangan air adalah punca utama keletihan pada waktu siang yang boleh menyebabkan pernafasan menjadi pendek, sakit perut, kebas dan risau tanpa sebab munasabah.

Mengantuk selepas makan tengah hari adalah petanda penting badan kita kekurangan air. Air diperlukan untuk proses pencernaan dan metabolisme makanan. Untuk menjalankan proses ini, badan mengambil air daripada sel badan (termasuk darah).

Oleh kerana air membabitkan dua komponen iaitu dua molekul hidrogen dan satu molekul oksigen (H2O); apabila ia digunakan untuk proses pencernaan, bekalan oksigen ke otak berkurangan. Ini sebabnya kita berasa mengantuk, letih dan sukar menumpukan perhatian kepada kerja selepas makan.

“Air penting untuk melarutkan hasil sampingan metabolisme seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke buah pinggang. Air mencukupi diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan ini dari badan dengan berkesan kerana kekurangan air memaksa buah pinggang bekerja lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama kelamaan ia boleh menyebabkan kerosakan organ penting ini.

“Air juga diperlukan untuk menjadi pelincir kepada pergerakan sendi dan kajian menunjukkan pengambilan lapan hingga 10 gelas air sehari boleh mengurangkan kesakitan sendi pada 80 peratus pesakit artritis.

“Air turut menjadi bahan asas paling utama untuk aktiviti enzim dan kawalan suhu badan; membolehkan darah menghantar oksigen dan nutrien kepada sel di seluruh badan. Kekurangan air menjejaskan semua proses ini dan khasiat makanan mungkin tidak dapat diagihkan dengan baik ke seluruh badan,” katanya pada prapelancaran Ekspo Pendidikan Air Tulin anjuran Elken Sdn Bhd.

Badan kita membabitkan 70 peratus air dan jika air ini bersih, sel badan jadi lebih segar dan kuat. Air bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel menjadi tidak normal, mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan merendahkan peluang mendapat jangkitan.

Air untuk buang lemak

Bagi individu yang mahu mengurangkan berat badan, minum banyak air kosong antara jalan terbaik. Air elemen penting untuk membantu meningkatkan metabolisme badan dan mempercepatkan proses pembuangan lemak. Untuk kekal sihat dan bertenaga, setiap orang perlu minum sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas air kosong sehari.

Masalahnya ramai orang keliru antara isyarat ‘lapar’ atau ‘dahaga’. Kekeliruan ini menyebabkan ada orang mencari makanan setiap kali satu daripada isyarat ini diterima otak.

Akibatnya berat badan bertambah tanpa disedari. Masalah ini lebih ketara di kalangan orang tua kerana deria rasa mereka menjadi kurang sensitif. Tidak hairan jika ramai orang tua mengalami masalah kekurangan air dalam badan.

Bagi individu yang turut mengalami kekeliruan ini, langkah terbaik ialah minum air setiap kali terasa lapar. Kajian menunjukkan segelas air kosong boleh menghilangkan kelaparan di tengah malam dan berita baiknya, air tidak mengandungi kalori. Jadi isu pengumpulan tenaga berlebihan yang akhirnya disimpan sebagai lemak tidak timbul.

Untuk kesan lebih cepat, pakar pemakanan menyarankan supaya minum setiap kali sebelum makan. Air membuatkan kita terasa cepat kenyang dan ini secara tidak langsung dapat mengelak kita makan banyak.

Pun begitu, jangan sampai tidak makan kerana badan kita sangat bijak. Jika kekurangan makanan, ia merendahkan tahap metabolisme untuk menjimatkan pembakaran tenaga.

Malangnya, tahap metabolisme rendah sukar ditingkatkan semula. Ia kekal bagi tempoh lama dan tidak meningkat walaupun tabiat makan kembali seperti biasa. Hasilnya, tenaga yang tidak dibakar daripada makanan disimpan sebagai lemak dan akhirnya membuat kita bertambah gemuk.

Ingat, air yang perlu diambil ialah air kosong. Minuman manis mengandungi kalori kosong iaitu yang tidak diperlukan badan. Apabila disuruh minum sehingga dua liter sehari, timbul kebimbangan berlaku kesan sampingan terlalu banyak air. Ada yang mendakwa ia menyebabkan perut berasa kembung.

Long berkata, satu-satunya kesan sampingan yang dialami ialah kerap berulang ke tandas dan ia dianggap perkara baik. Secara umumnya kita tidak akan mengalami masalah ‘terlalu banyak air’ kerana badan secara automatik mengeluarkan air berlebihan.

Yang lebih kerap berlaku ialah kekurangan air (dehidrasi). Ramai orang tidak sedar mereka mengalami kekurangan air yang kronik. Antara contoh kekurangan air yang kronik ialah apabila anda hanya pergi tandas satu atau dua kali sehari, berasa dahaga, kulit menjadi kering dan mengalami masalah retensi atau tegasan air.

“Retensi air yang menyebabkan perut terasa kembung atau kaki nampak bengkak adalah tanda kekurangan air, bukan sebab terlalu banyak air. Kita berasa kembung kerana badan cuba mengekalkan keseimbangan garam galian. Cara untuk atasi masalah ini ialah dengan minum air secukupnya iaitu antara lapan hingga 10 gelas sehari. Anda akan dapat lihat perubahan positif secara perlahan-lahan.

“Kekurangan air menyebabkan bahan buangan yang perlu dikeluarkan dari badan terkumpul dan lama kelamaan boleh mengakibatkan masalah kesihatan, contohnya pembentukan batu karang. Kehilangan hanya dua peratus air boleh menyebabkan otak kurang cerdas, ingatan jangka pendek menjadi kabur, sukar mengira dan menumpukan perhatian ketika membaca.

“Jadi usah risau jika anda perlu selalu ke tandas kerana ia antara cara meningkatkan kepekaan fikiran, khususnya bagi individu yang banyak duduk ketika bekerja.

“Banyak kajian menyarankan kita berhenti rehat setiap satu atau satu setengah jam. Pergi ke tandas boleh dianggap sebagai ‘rehat’ yang bukan saja baik untuk membersihkan badan, tetapi mampu meningkatkan tumpuan fikiran,” katanya.

Badan kehilangan air melalui:

> Pernafasan (1 gelas air — 14 peratus)

# Air kencing (5 1/2 gelas air atau 50 peratus)

# Peluh ( 2 gelas air — 34 peratus)

# Najis (1/2 gelas air — dua peratus)

Ini sebabnya pakar kesihatan menyarankan kita minum sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas atau kira-kira dua liter air sehari.

Air tulen

Air paip di negara kita dikelaskan sebagai air yang selamat. Ia bermakna ia boleh diminum terus tanpa perlu dimasak kerana dirawat dengan klorin yang membunuh bakteria dan virus.

Bagaimanapun, rawatan yang ada tidak dapat menyingkir bahan terlarut seperti bahan kimia, sama ada racun serangga, rumpai, cat dan ubat farmaseutikal, termasuk ubat penenang, jantung dan hormon seks.

Bagaimana bahan ini boleh masuk ke dalam air yang kita minum? Bumi adalah satu sistem tertutup dan air yang ada di atas bumi wujud sejak zaman dulu kala lagi. Bahkan ia adalah air yang sama diminum oleh dinasour!

Dunia kita sangat kecil dan tanpa disedari semua orang di dunia berkongsi sumber air sama. Air yang dianggap kotor di Sungai Ganges di India mungkin tersejat menjadi titisan air di awan yang kemudian turun sebagai hujan di tempat anda! Jadi ini sebabnya kita perlu sama-sama menjaga kebersihan sungai dan semua punca air di negara kita supaya tidak tercemar.

Sedihnya, kajian menunjukkan sungai di Asia paling tercemar di dunia; mengandungi tiga kali ganda sisa manusia dan paras plumbumnya 20 kali lebih banyak berbanding sungai di negara maju (perindustrian).

Penyakit akibat air tercemar mudah merebak dan separuh daripada jumlah katil hospital di seluruh dunia diduduki pesakit yang mengalami penyakit bawaan air. Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini cirit-birit membunuh ramai kanak-kanak yang melebihi jumlah kematian akibat Perang Dunia Kedua!

“Kandungan nitrat tinggi dalam air menyebabkan bayi baru lahir mengalami Sindrom Bayi Biru; yang mengurangkan kemampuan darah membawa oksigen. Bahan kimia arsenik pula dikaitkan dengan penyakit kanser paru-paru.

“Penapisan dan pengklorinan tidak dapat menyahkan arsenik daripada air. Malah, ada kajian menunjukkan mendidihkan air boleh meningkatkan kandungan arsenik dalam air masak.

“Justeru, mendidihkan air dianggap tidak mencukupi untuk dijadikan benteng mencegah penyakit. Badan memerlukan air tulen yang bebas daripada bahan terlarut dan contoh air tulen ialah air hujan dan air daripada proses osmosis songsang (berbalik).

“Semua orang tahu buah pinggang adalah sistem penapis dalam badan. Kehadiran bahan asing dalam air minuman masuk ke dalam darah dan ditapis di buah pinggang untuk disingkir dari badan.

“Lebih tinggi kandungan bahan asing dalam air minuman, lebih kuat buah pinggang perlu bekerja untuk menyingkirnya. Lama kelamaan ia menyebabkan kilang penapis ini letih dan alami kerosakan,” katanya.

Setiap lima hingga 13 hari, air dalam badan diperbaharui. Jadi kita sentiasa ada peluang untuk membersih dan menyingkir bahan toksik berbahaya daripada terkumpul di dalam badan dengan minum air tulen. Air bersih boleh meningkatkan daya ketahanan badan dan membuatkan kita berasa lebih segar.

Ada yang mempersoalkan jika minum air tulen, kita tidak akan mendapat garam galian. Menurut Long, garam galian yang diperlukan badan adalah garam galian organik dan ia datang daripada makanan. Garam galian yang ada dalam air bukan organik dan tidak boleh diserap badan. Jadi persoalan kekurangan garam galian daripada air tidak timbul kerana kandungannya terlalu kecil; lagipun semua garam galian itu ada dalam makanan.

Pun begitu, minum air tulen saja tidak dapat menjamin tahap kesihatan anda bertambah baik kerana ia bergantung kepada empat faktor iaitu pemilihan makanan, minuman, senaman dan kerohanian. Ini yang dipanggil penjagaan kesihatan secara holistik dan seseorang tidak mungkin hidup sejahtera jika empat faktor berkenaan tidak seimbang.

Bagi meningkatkan kesedaran kepentingan penjagaan sumber air, anda boleh membawa anak mengunjungi ekspo pendidikan di Pusat Konvensyen Elken, Jalan Klang Lama, bermula hari ini (23 Mei) hingga 16 Ogos depan yang dibuka setiap hari dari jam 2 petang hingga 8 malam (Isnin hingga Jumaat) dan jam 10 pagi hingga 6 petang (Sabtu dan Ahad). Untuk keterangan lanjut sila layari www.whatsH2O.com.



Keistimewaan wanita



SEORANG teman pernah mengusik mengatakan wanita adalah makhluk yang sangat unik kerana walaupun mengalami ‘pendarahan’ selama seminggu setiap bulan, mereka masih boleh hidup dengan baik dan bertenaga.

Malah, acap kali juga keadaan begini menjadi waktu paling sesuai untuk wanita keluar membeli-belah, terutama pada waktu rehat.

Usikan itu disambut dengan ketawa kerana ia sebenarnya merujuk kepada kitaran haid wanita. Menjadi budaya masyarakat kita tidak membincangkan soal haid secara terbuka kerana ia dianggap perkara ‘sulit’ bagi wanita.

Malah, ada yang menganggap kedatangan haid sebagai memalukan kerana didatangi ‘darah kotor’, justeru ia perlu dirahsiakan.
 

Bagi wanita Islam, haid adalah waktu untuk berehat daripada melakukan ibadat wajib. Ia juga boleh menjadi penanda kesuburan dan kesihatan wanita.

Darah haid sebenarnya datang daripada lapisan tisu yang mengalas dinding rahim dipanggil endometrium. Ketika bayi perempuan dilahirkan, dia sebenarnya mempunyai semua telur (dianggarkan antara 450,000 hingga 500,000) yang disimpan dalam ovari. Setiap satu mempunyai kantung khas dipanggil folikel.

Apabila baligh, badan menghasilkan pelbagai jenis hormon yang mematangkan telur dan inilah permulaan kitaran haidnya.

Folikel yang matang menghasilkan hormon estrogen. Estrogen bertanggungjawab menjadikan dinding uterus menebal, menyebabkan perubahan mukus (lendir) serviks.

Ketika haid, satu telur dikeluarkan. Ada juga kes lebih daripada satu telur dikeluarkan yang membolehkan seseorang wanita mendapat bayi kembar tidak seiras jika berlaku persenyawaan.

Telur yang tersenyawa melekat pada lapisan dinding endometrium bagi membolehkan ia membesar menjadi janin (kehamilan berlaku).

Jika persenyawaan dan kehamilan tidak berlaku, dinding ini runtuh dan dikeluarkan sebagai haid. Inilah permulaan kitaran haid yang biasanya mengambil masa seminggu. Bagi wanita Islam, pendarahan yang berlaku selepas 15 hari tidak lagi dianggap haid, sebaliknya istihadah (darah penyakit).

Wanita yang mengalami pendarahan hebat diiringi senggugut teruk (terutama selepas berumur 30 tahun) disaran menjalani pemeriksaan, bimbang ia disebabkan kehadiran fibroid atau endometriosis (kehadiran tisu endometrium di luar rahim) yang boleh menghalang kehamilan.

Berapa banyak darah yang keluar? Pada hari yang ‘tenat’, kita berasa darah haid keluar ‘mencurah’ tetapi menurut Kaunselor Seksual, Akademi Kejururawatan Amerika, Dr Beverly Whipple, secara purata kuantiti darah haid antara 30 hingga 40 mililiter atau dua hingga empat sudu makan saja!

Darah ini mengandungi zat besi, sel mati dan lendir. Kehilangan zat besi menyebabkan ramai wanita mudah berasa penat ketika haid.

Ada yang menyarankan wanita mengambil pil makanan tambahan zat besi untuk mengatasi masalah ini, terutama yang alami masalah kekurangan darah atau anemia.

Untuk menghalang darah haid terkena pakaian dan mencemarkan kesucian satu-satu tempat, wanita zaman dulu menggunakan tuala atau kain yang boleh dicuci dan digunakan semula. Tuala wanita pakai buang yang pertama dicipta pada 1890 di Jerman.

Hanya menjelang 1927 baru tuala pakai buang dihasilkan, diikuti tampon pada yang diperkenalkan secara komersial pada 1933.

Tuala wanita sentiasa mengalami perubahan dan tuala berpelekat pertama ada di pasaran pada 1970. Penyelidikan menghasilkan ‘cawan’ penadah haid bermula pada 1960-an.

Ramai wanita bimbang dengan bau darah haid. Ia disebabkan aktiviti bakteria faraj terhadap elemen darah dan ia perkara normal.

Justeru, tidak kira berapa teliti pun seseorang itu menjaga kebersihan diri, bau darah tetap ada. Namun ia dapat diatasi dengan penggunaan tuala wanita yang ada haruman tertentu.

“Antara masalah yang kerap dialami apabila menggunakan tuala wanita ialah kebocoran. Wanita berasa kurang yakin dan bimbang berlaku kebocoran sehingga terkena pakaian, terutama pada hari yang tenat. Bagi wanita sensitif pula, mereka mengalami masalah gatal sepanjang haid.

“Ramai wanita cuba mengelak terbabit dalam kegiatan aktif, terutama berenang, ketika haid. Masalah ini kurang sedikit apabila menggunakan tampon. Tuala wanita dan tampon direka untuk menyerap darah haid, perbezaannya hanya kedudukan ketika ia digunakan.

“Kekurangan menggunakan tampon ialah ia mungkin ‘hilang’ di dalam saluran faraj dan terpaksa mendapatkan bantuan pakar perbidanan untuk mengeluarkannya.

“Jika digunakan terlalu lama, ia mungkin boleh menyebabkan sindrom kejutan toksik yang terjadi akibat aktiviti bakteria pada darah haid.

“Justeru, tampon perlu ditukar setiap tiga hingga empat jam (sama seperti tuala wanita) untuk mengelak masalah,” katanya pada pelancaran Instead Softcup, alat penadah haid.

Berbeza dengan tuala wanita dan tampon, alat ini direka untuk menadah darah haid dengan memasukkannya ke belakang tulang pubik (melalui faraj). Ia selamat, tidak menyebabkan kesan alahan dan tidak mengandungi bahan toksik.

Oleh kerana ia dimasuk dan diletakkan di belakang tulang pubik, masalah kebocoran, bau dan kebimbangan ‘hilang’ tidak berlaku kerana alat ini mempunyai gelang boleh lentur yang membuatkan ia terletak sempurna di belakang tulang pubik.

Penggunaannya membolehkan wanita menjalankan semua aktiviti cergas dan lasak tanpa masalah atau kebimbangan kebocoran. Mereka juga boleh berenang seperti ketika tidak haid.

Bagaimanapun, menurut Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Datuk Dr Abdul Aziz Yahya, alat ini tidak disaran untuk wanita yang menggunakan alat pencegah kehamilan dalam rahim sama (IUD) kerana ia boleh menyebabkan IUD terkeluar.

Malah, wanita yang baru bersalin, keguguran atau baru menjalani pembedahan akibat masalah perbidanan perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu sebelum menggunakan alat ini.

Walaupun ia dikatakan sesuai untuk semua peringkat umur, tetapi bagai anak gadis beragama Islam, lebih baik berbincang dulu dengan doktor untuk menggunakannya.



Tabiat merokok



WABAK tembakau? Akan adakah wabak atau epidemik tembakau? Ya, ada dan sedang ‘merebak’. Lihat di keliling anda, ada saja orang diserang kanser paru-paru, tercungap-cungap bernafas akibat penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD), bronkitis serta penyakit jantung yang disahkan ada kaitan rapat dengan merokok.

Lebih 90 peratus kes kanser paru-paru pada lelaki dan 80 peratus pada perempuan disebabkan rokok. Di Amerika Syarikat, ia adalah kanser utama penyebab kematian, melebihi jumlah keseluruhan kematian akibat kanser payudara, prostat dan usus; dan sedihnya perkara sama juga berlaku di negara kita.

Kajian menunjukkan penyakit jantung yang dikaitkan dengan merokok meragut lebih 600,000 nyawa setiap tahun di negara maju. Merokok menyebabkan jantung berdegup cepat yang boleh menaikkan tekanan darah. Ini meningkatkan risiko penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi), strok dan serangan jantung.

Setiap tahun dianggarkan 5.4 juta kematian akibat rokok dicatatkan — jauh lebih tinggi berbanding kematian tibi, malaria, kemalangan, penyalahgunaan dadah dan pembunuhan. Jumlah ini dijangka meningkat kepada lapan juta setahun menjelang 2030 jika tiada langkah pencegahan dilakukan.
 

Di Malaysia, pada 2006 saja, 12,534 daripada 31,186 kes yang dirujuk ke unit kecemasan dikenalpasti ada sindrom koronari akut yang disebabkan tabiat merokok. Fakta yang disebut di atas bukan baru. Semua orang dan perokok tahu mengenainya. Namun sebagai peringatan bersama (kerana lumrah manusia, kita cepat lupa)

Walaupun kebanyakan perokok mungkin bersikap tidak peduli dengan segala amaran dan penyakit yang mungkin menimpa mereka, ramai yang diam-diam mencuba pelbagai cara untuk berhenti tetapi masih tidak berjaya.

Jika anda termasuk dalam kumpulan ini, teruskan berusaha kerana ini antara sumbangan yang boleh anda beri kepada keluarga. Kajian di United Kingdom mendapati merokok boleh memendekkan hayat seseorang sehingga 10 tahun. Maknanya perokok akan mati 10 tahun lebih awal berbanding individu tidak merokok.

Berapa ramai rakyat Malaysia merokok? Jumlah perokok di kalangan orang dewasa di negara kita semakin meningkat iaitu daripada 21.5 peratus pada 1986 kepada 33 peratus pada 2006. Namun berita baiknya 70 peratus daripada perokok di negara kita ada keinginan dan pernah cuba berhenti.

Untuk berhenti merokok bukan mudah kerana ia memerlukan kesedaran, kesungguhan dan sokongan tidak berbelah bagi. Ramai menganggap kejayaan lebih tinggi jika berhenti merokok secara mengejut tetapi banyak bukti menunjukkan ramai kembali merokok selepas satu tempoh tertentu, kata Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.

Kaedah lain yang boleh dicuba ialah terapi penggantian nikotin sama ada tampalan, gula getah nikotin, ‘rokok nikotin’, semburan hidung atau pil oral bagi menangani ketagihan terhadap nikotin. Bila perlu menggunakan pengganti nikotin? Menurut Dr Aizai, terapi ini boleh diambil apabila seseorang bertekad berhenti merokok dan ia boleh diperoleh daripada doktor atau dibeli di farmasi.

Bagi yang ingin mencuba sendiri, Dr Aizai menyarankan anda menggunakan terapi penggantian nikotin selama 10 minggu. Lihat sama ada anda benar-benar berjaya membebaskan diri daripada belenggu rokok. Jika tidak berjaya dan masih tidak mampu melawan desakan kuat untuk merokok, tidak mengapa kerana ramai perokok di seluruh dunia menghadapi masalah sama.

“Jika gagal kali pertama, cuba selama 10 minggu lagi. Bagaimanapun, peratus kejayaan lebih tinggi jika usaha anda mendapat sokongan moral dan psikologikal daripada doktor atau pakar bertauliah yang mampu membantu anda berhenti,” katanya sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang akan disambut hari ini, 31 Mei 2009.

Pengarah Serantau Pfizer, Unit Perubatan Kardiovaskular dan Penjagaan Metabolik Primer, Dr Alaster Allum, berkata ketagihan nikotin perlu dianggap masalah perubatan kronik yang perlu diberi rawatan khusus, termasuk pemantauan dan penilaian berpanjangan hinggalah kesan nikotin ke atas badan hilang sepenuhnya.

Katanya, kajian mendapati 47 peratus daripada 714 perokok berumur 35 hingga 75 tahun yang ada sejarah penyakit kardiovaskular dan mengambil terapi penggantian nikotin oral seperti verenicline berjaya berhenti merokok selepas empat minggu rawatan.

Jika anda ada sejarah penyakit jantung atau mempunyai ahli keluarga yang diserang penyakit jantung, risiko anda mendapat serangan jantung sangat tinggi jika merokok.

Asap rokok meningkatkan keupayaan darah untuk bergumpal (boleh menyebabkan serangan jantung jika gumpalan darah ini tersekat pada saluran darah ke jantung atau strok jika ia menghalang laluan darah ke otak), meninggikan tekanan darah dan kadar degupan jantung.

Bahan kimia dalam asap rokok ini boleh bertindak balas dengan lain-lain faktor risiko, terutama tekanan darah tinggi dan dislipidemia yang akan meningkatkan peluang kehilangan keupayaan atau kematian. Kajian terbaru menunjukkan asap rokok mengurangkan keberkesanan ubat sakit jantung yang anda ambil.

Kesan rokok bukan hanya pada perokok, malah boleh memudaratkan orang tidak merokok tetapi menghidu asap rokok secara tidak sengaja (perokok sekunder). Perokok sekunder juiga berisiko 25 hingga 30 peratus mendapat penyakit koronari arteri dan kanser paru-paru. Malah perokok tertier (iaitu individu tidak merokok, tidak menghidu asap rokok tetapi tercium bau asap rokok) juga berisiko mendapat kanser dan penyakit jantung.

Justeru, ini masanya anda memikirkan semula tabiat buruk itu yang bukan hanya menghabiskan wang, tetapi turut ‘membakar’ kesihatan isteri dan anak secara perlahan-lahan. Antara manfaat yang anda peroleh dengan berhenti merokok ialah:

# Dalam sejam — Sel badan mula memperbaiki diri sendiri, tekanan darah dan degupan jantung menurun

# Lapan hingga 12 jam — Paras karbon monoksida dan nikotin menurun 50 peratus

# 24 jam — Paras oksigen meningkat ke paras normal, risiko mendapat serangan jantung menurun

# 48 jam — Deria rasa dan hidu semakin baik, kesan nikotin hilang daripada badan

# Dua minggu — Peredaran darah bertambah baik dan fungsi paru-paru meningkat 30 peratus

# Empat minggu — Ketagihan nikotin hilang sepenuhnya

# Setahun — Risiko sakit jantung turun 50 peratus

# Lima tahun — Risiko strok sama dengan orang tidak merokok

# 10 tahun — Risiko kanser paru-paru kurang 30 hingga 50 peratus berbanding orang yang masih merokok

# 15 tahun — Risiko sakit jantung sama dengan orang tidak merokok


Kesan negatif rokok

> Jika wanita merokok ketika hamil, bayi dilahirkan tidak cukup berat

> Komplikasi kehamilan

> Kesuburan terjejas (wanita dan lelaki)

> Bayi berisiko alami sindrom mati mengejut (SIDS)

> Mati pucuk (lelaki)

> Keretakan tulang pinggul

> Ketumpatan tulang rendah

> Melambatkan penyembuhan luka (pembedahan, gigi)

> Menjejaskan keberkesanan ubat

> Merangsang katarak

> Kulit cepat berkedut

> Ulser peptik

Manakala risiko kesihatan yang dihadapi perokok ialah:

> 20 kali risiko kanser paru-paru

> Dua kali risiko serangan jantung

> Empat kali risiko kematian akibat penyakit jantung

> Tiga kali risiko strok (angin ahmar)



Televisyen punca asma



ADAKAH anak anda termasuk dalam kumpulan kanak-kanak yang menguasai televisyen? Ini antara rungutan biasa kebanyakan ibu bapa setiap kali bercerita mengenai tabiat menonton televisyen di kalangan kanak-kanak, terutama dalam lingkungan umur antara tiga hingga 12 tahun.

Walaupun televisyen boleh menjadi teman dan sumber maklumat, fungsinya di kebanyakan rumah lebih menjurus kepada hiburan. Tahukah anda, kajian mendapati terlalu lama menonton televisyen boleh meningkatkan risiko kanak-kanak mendapat asma?

Kajian yang disiarkan dalam Jurnal Toraks di United Kingdom melaporkan kaitan antara asma dengan gaya hidup tidak aktif (termasuk terlalu lama menonton televisyen), obesiti dan kekurangan bersenam yang menyebabkan satu kematian bagi setiap 250 pesakit setiap tahun.

Asma adalah penyakit paru-paru kronik paling lazim di dunia. Berdasarkan Laporan Beban Asma, dianggarkan 300 juta penduduk dunia, terutama kanak-kanak, menghidap asma dan ia membabitkan semua kaum, umur, keturunan dan tahap sosio ekonomi.
 

Asma pada kanak-kanak biasanya ‘hilang’ selepas mereka berumur tiga tahun. Bagi kanak-kanak yang masih ada masalah asma selepas umur ini, penyakit itu biasanya mengganggu kehidupan mereka selama satu hingga dua tahun dan jika tidak dikawal ia boleh berlarutan hingga dewasa.

Di Amerika Syarikat saja, dianggarkan 6.8 juta kanak-kanak di bawah umur 18 tahun (dengan 1.2 juta berumur kurang dari lima tahun) menghidap asma dan daripada jumlah itu 4.1 juta melaporkan mengalami serangan asma.

Asma menjadi penyakit ketiga utama yang menyebabkan kemasukan ke hospital di kalangan kanak-kanak bawah umur 15 tahun dan punca paling lazim ketidakhadiran ke sekolah.

Penyelidik Universiti Glasgow membabitkan pemantauan ke atas 3,000 kanak-kanak dari lahir sehingga berumur 12 tahun.

Setiap tahun ibu bapa ditanya mengenai gejala pernafasan berdehit pada anak dan sama ada doktor mengesahkan kanak-kanak berkenaan menghidap asma.

Penyelidik juga menganalisis jumlah masa kanak-kanak menonton televisyen. Bagaimanapun, kajian ini tidak membabitkan permainan video atau komputer kerana ia belum popular ketika kajian dimulakan pada pertengahan 1990-an.

Hasil kajian mendapati enam peratus kanak-kanak yang tidak menunjukkan gejala asma ketika berumur 12 tahun menghidap penyakit itu apabila semakin dewasa.

Kanak-kanak yang menonton televisyen melebihi dua jam setiap hari didiagnos dua kali ganda menghidap asma berbanding kumpulan kanak-kanak yang kurang menonton televisyen.

Gaya hidup tidak aktif memberi kesan besar kepada pola pernafasan kerana ia membuatkan perubahan perkembangan pada paru-paru dan masalah pernafasan di kalangan kanak-kanak.

Kajian ini membuktikan gaya hidup ketika kecil memberi pengaruh besar dan ada kaitan dengan risiko mengalami asma pada penghujung zaman kanak-kanak.

Maknanya, kanak-kanak perlu digalak menghabiskan lebih banyak masa bermain di luar rumah, terutama bersama rakan sebaya, bagi merangsang perkembangan paru-paru dan memperbaiki sistem pernafasan.

Malah, ramai pesakit asma terbabit dalam sukan sehingga berjaya menyertai Sukan Olimpik. Malangnya, masih ramai ibu bapa terlalu bimbang untuk membenarkan anak bergiat cergas dalam sukan sehingga ada yang meminta doktor menulis surat supaya anak mereka diberi pelepasan daripada sesi senaman di sekolah.

Kebimbangan tidak berasas ini hanya menggalakkan anak menghabiskan masa di depan televisyen atau komputer. Salah tanggapan yang diwarisi turun temurun itu juga secara tidak langsung menjadikan si pesakit percaya mereka perlu berpantang daripada melakukan aktiviti cergas.

Memang benar aktiviti cergas boleh menyebabkan serangan asma tetapi jika penyakit terkawal, seseorang kanak-kanak boleh melakukan semua kegiatan seperti rakan sebaya yang sihat tanpa masalah.

Walaupun asma tidak dapat disembuhkan, pesakit masih boleh menjalani kehidupan normal dan lebih baik daripada individu sihat.

Yang penting ialah penyakit ini mesti diurus dan dikawal dengan baik kerana serangan asma menyebabkan 180,000 kematian di seluruh dunia setiap tahun.

Perkara ini tidak harus berlaku kerana kematian boleh dielak dengan mengikuti saranan Inisiatif Global Untuk Asma (GINA).

Ini sebabnya ibu bapa dan seisi keluarga perlu sama-sama terbabit dalam pengurusan asma, walaupun hanya seorang anak menghidap penyakit itu.

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah mengelak pesakit terdedah kepada faktor atau perkara yang boleh merangsang serangan asma dengan memastikan rumah sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran udara (termasuk asap rokok).

Seisi keluarga perlu mengetahui tanda asma seperti:

  • Batuk pada waktu malam
  • Sukar bernafas
  • Nafas berbunyi berdehit (lebih teruk pada waktu malam atau ketika bersenam)
  • Kerap mengalami masalah sinus rinitis (kerap bersin; hidung dan mata menjadi berair, merah dan terasa gatal)


Gejala di atas berbeza dari semasa ke semasa, tetapi ia biasanya lebih teruk pada malam dan awal pagi. Malah, tahap serangannya berbeza antara pesakit — ada yang teruk hingga tidak dapat menjalankan aktiviti harian, tetapi ada juga yang hanya mengalami masalah kecil.

Selain sentiasa bersedia dengan ubat dan mengamalkan pemakanan yang baik, asma boleh dikawal dengan bergiat aktif mengikut kemampuan setiap pesakit. Bahkan, kajian membuktikan gaya hidup tidak aktif boleh menyebabkan seseorang mendapat asma.

Jadi sebagai ibu bapa, luangkan sedikit masa untuk menemani anak bermain di taman atau lebih baik jika anda boleh mengajak mereka bersenam bersama-sama!



Dadah :: tanda - tanda dan rawatan



SELALU kita tertanya bagaimana seorang penagih boleh hilang pertimbangan sehingga sanggup bertindak mencuri malah mengugut dan ada kala mencederakan ibu bapa sendiri semata-mata mahu mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Penagih dadah tidak kisah apa pun berlaku kepada ibu bapa atau ahli keluarga yang terpaksa menanggung penderitaan dan malu. Disumpah seranah pun mereka sanggup asalkan dapat melepaskan gian. Inilah yang dialami semua orang apabila ada ahli keluarga menagih dadah.

Dadah sama ada dalam bentuk semula jadi (seperti kanabis) atau sintetik memberi kesan buruk kepada penagih terutama ke atas struktur badan (dan organ), fungsi, menjadi agen perangsang kepada pemikiran, perasaan dan perlakuan seseorang.

Penagihan dadah adalah masalah global, tidak kira di mana pun kita akan mendengar cerita dan pengalaman penderitaan yang sama. Laporan Dadah Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu 2007, mencatatkan kira-kira 200 juta atau lima peratus daripada penduduk dunia (satu daripada 200 orang) mengambil dadah. Di Asia masalah utama ialah penagihan opioid seperti heroin, perangsang amfetamin dan kanabis.
 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan bagi setiap penagih yang dikesan ada empat lagi yang tidak dilaporkan. Ini bermakna jumlah sebenar penagih dadah di Malaysia boleh menjadi sejuta orang berbanding hanya 250,000 yang dilaporkan.

Kajian Yayasan Perlindungan Jenayah Malaysia mendapati kebanyakan penagih dadah di negara ini mula mengenali dadah dalam lingkungan usia 13 hingga 15 tahun dan 71 peratus daripada penagih dadah baru terdiri daripada golongan muda antara 19 hingga 39 tahun.

Sekali terperangkap dengan dadah, penagih hilang wawasan dan hala tuju hidup. Mereka tidak kisah mengenai apa juga perkara, termasuk soal makan minum, masa depan atau maruah keluarga, kerana yang penting ialah dos dadah seterusnya.

Sebaik terperangkap dalam dunia penagihan sehinggalah benar-benar sembuh, seseorang penagih dadah sebenarnya mengalami kerencatan emosi yang menyebabkan mereka hilang rasional dan rasa belas, kata Perunding Terapi Penagihan, Chris Sekar.

“Contohnya jika seseorang menagih selama 10 tahun yang bermula pada umur 17 tahun, tahap emosi individu berkenaan sama seperti ketika dia masih remaja walaupun sudah menjangkau umur 27 tahun. Kerencatan emosi ini akan berterusan selama mereka menagih dan hanya akan 'bersambung' apabila berhenti mengambil dadah.

“Maknanya tahap pemikiran dan emosi mereka tidak akan matang walaupun usia meningkat. Dalam fasa ini apa yang ada dalam fikiran mereka hanyalah dadah dan cara mendapatkannya. Bagaimanapun mereka memang handal bercakap seolah-olah tahu semua perkara di dalam dunia ini. Ini adalah antara taktik untuk melindungi kegiatan mereka.

“Memanglah apabila anak menagih, seluruh keluarga mendapat nama buruk. Namun jangan anggap anak kita jahat. Mereka dilahirkan sebagai anak yang baik kerana perlakuan buruk itu hanya datang selepas menagih dadah. Itu kesilapan dalam hidup mereka dan tiada seorang pun di dunia ini yang tidak berbuat silap. Malah kita sebagai orang dewasa dan ibu bapa sendiri lebih dulu melakukan kesilapan.

“Banyak keluarga yang mengadu sudah tidak tahan dengan masalah ditimbulkan penagih. Sikap inilah yang kita tidak mahu kerana apabila keluarga berputus asa, siapa lagi yang dapat membantu penagih untuk kembali ke pangkal jalan sedangkan mereka amat memerlukan sokongan. Inilah sebabnya penagihan dadah boleh dikategorikan sebagai penyakit keluarga dan bukan individu.

“Sokongan dan bantuan keluarga adalah sebahagian daripada komponen rawatan. Inilah sebabnya ketika pesakit memerlukan rawatan perubatan, keluarga pula diberikan sokongan dari segi persediaan mental,” katanya pada Persidangan Perubatan Ketagihan Kebangsaan Ke-5 anjuran bersama Persatuan Perubatan Penagihan Malaysia, Persatuan Pengamal Perubatan Persendirian Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia dan Schering Plough.

Menurutnya, kebarangkalian seseorang penagih untuk menagih kembali amat tinggi, walaupun sudah beberapa tahun tidak menyentuh dadah. Keluarga perlu sepakat untuk membantu penagih. Biasanya nenek, isteri atau teman wanita 'merosakkan' rawatan dengan memberi wang kepada penagih. Perkara ini perlu dihentikan beberapa bulan sepanjang mereka menjalani rawatan.

“Setiap sesi rawatan perlu membabitkan ahli keluarga kerana penagihan itu sendiri memusnahkan institusi kekeluargaan. Rumah tangga musnah, anak dan isteri terabai serta menderita, kasih sayang hilang, timbul perasaan benci dan sakit hati. Bagaimanapun usaha ini bukan mudah. Justeru itulah keluarga juga memerlukan sokongan terutama daripada kumpulan atau ahli keluarga lain yang mengalami nasib sama,” katanya.

Tanda anak menagih atau menagih semula

Ada kalanya ibu bapa tidak sedar anak mereka menagih dadah. Sebenarnya tanda dan gejala penagihan mudah dikesan. Antara tanda yang biasa ditunjukkan jika anak menagih ialah:

* Mata dan gerak bahasa badan berubah - Penagih mempunyai mata merah, nampak mengantuk dan anak mata mengecil. Perhatikan jika anak buang air kecil. Jika cepat bermakna dia bersih dan sekiranya lama di dalam tandas, mungkin menandakan dia mengambil dadah kerana dadah akan mengetatkan pundi kencing yang menyebabkan proses buang air kecil menjadi lama.

* Penagih mengambil masa lebih lama untuk mencapai orgasma berbanding biasa.

* Lihat kesan suntikan. Jika anak mengambil dadah melalui suntikan, kesan boleh dilihat pada pelipat lengan atau kaki.

* Hidung kerap berdarah terutama bagi penghidu kokain kerana ia boleh ‘memakan dan merosakkan’ lapisan sel dalam hidung.

* Kesan lebam pada bibir atau jari. Ini menandakan anak anda mengambil dadah menggunakan salur kaca panas atau paip logam.

* Lihat kesan kerosakan dan lubang di celah gigi. Heroin boleh ‘memakan’ dan mereputkan gigi penagih.

* Lihat jika ada kesan cat pada badan atau bajunya. Bau bahan kimia atau kerap selesema juga menjadi petanda anak anda ketagih pada bau gam, cat atau bahan kimia kegunaan rumah yang boleh mendatangkan kesan khayal.

* Perubahan emosi yang ketara dan tidak stabil, sama ada menjadi terlalu gembira, asyik ketawa, berperangai buruk atau menjadi pendiam dan tidak mahu melakukan aktiviti.

* Lebih suka mengasingkan diri dan tidak banyak bercakap kerana bimbang rahsia terbongkar. Bagaimanapun penagih ganja suka bunyi bising, jadi mereka mungkin memasang radio atau televisyen sekuat hati.

* Motivasi merosot, pencapaian pelajaran menurun, minatnya beralih kepada perkara yang tiada kaitan dengan pelajaran dan aktiviti lain. Walaupun tidak ponteng tetapi penagih gagal memberi tumpuan di bilik darjah atau menyiapkan kerja sekolah.

* Barang di rumah kerap hilang.

* Kelompok kawan berubah dan menjauhkan diri daripada rakan baiknya yang dulu.

* Ada serbuk putih seperti bedak di bilik anak atau barang yang mencurigakan. Bau bilik juga mungkin menjadi wangi akibat penggunaan semburan bagi melindungi bau dadah.

Tanda-tanda menagih semula:

* Tidak lagi menghadiri perjumpaan dengan kumpulan sokongan atau sesi kaunseling

* Memperbaharui ‘kontrak’ dengan rakan-rakan lama (penagih) terutama jika keluarga menolak kehadiran mereka. Pesakit akan pergi ke kelompok kawan-kawan penagih yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka.

* Mulai berbohong (berbohong dan penagihan boleh diibaratkan seperti irama dengan lagu)

* Bersikap kritikal dan berprasangka

* Degil dan tetap mahu melakukan perkara yang dilarang sepanjang tempoh pemulihan (contohnya minum alkohol atau mendesak diberikan dadah pada hujung minggu)

* Tidak boleh diajar. Biasanya penagih mendakwa mereka tahu semua perkara. Sifat ini biasa ditunjukkan di kalangan penagih yang menagih semula dan menyebabkan proses pemulihan semakin sukar.

* Berlagak dan suka cakap besar.

Rawatan

Perunding Psikologi Klinikal dan Kaunselor Pusat Perubatan Sime Darby, Alexander Ng berkata, setiap penagih yang berjumpa doktor mengakui mahu 'sembuh' dan hidup sebaik orang lain. Bagaimanapun proses sembuh atau bebas daripada pengaruh dadah amat sukar, apatah lagi jika keluarga turut membuang mereka.

Hanya 10 hingga 15 peratus saja yang mempunyai semangat kuat untuk mengubah hidup mereka. Meskipun menjalani rawatan, peluang untuk menagih semula sentiasa ada. Antara faktor yang menyebabkan perkara ini ialah:

* Tidak mendapat sokongan keluarga (dalam rawatan dan konteks sosial), keluarga tidak menerima mereka kembali dan memandang negatif terhadap perubahan yang ingin dilakukan

* Tidak patuh kepada pelan rawatan

* Tidak patuh kepada program penjagaan selepas tamat rawatan. Program penjagaan ini bukan hanya setahun dua tetapi sepanjang hayat. Bertemu doktor dan psikiatri secara berkala juga penting untuk membantu penagih bebas daripada dadah.

Katanya, untuk kembali normal pesakit perlu kuat semangat, bersedia membuat perubahan dan melaksanakan pelan rawatan secara bersungguh-sungguh dengan sokongan pengamal perubatan serta keluarga terutama ibu bapa. Dalam tempoh ini pesakit perlu mengekalkan perlakuan baik sehingga ia menjadi gaya hidup mereka.

“Individu yang lemah semangat lebih mudah untuk terjerumus semula ke dalam kancah dadah. Doktor perlu memberi lebih perhatian kepada pesakit seperti ini dengan membantu menaikkan semangat, mendengar masalah, mengambil berat, bertanya perihal pesakit dan yakinkan bahawa mereka boleh berubah.

“Dadah boleh membuat otak penagih terencat. Justeru itulah mereka menunjukkan perlakuan aneh termasuklah cara berpakaian. Ada penagih berumur 50-an yang berpakaian ‘hip-hop’ seperti anak mudah. Lebih lama seseorang terperangkap dalam cengkaman dadah, lebih sukar untuk merawat dan mengubah tabiat serta gaya hidupnya.

“Dalam proses rawatan, kerjasama majikan amat penting kerana mereka yang tiada pekerjaan lebih mudah untuk menagih semula. Bagaimanapun banyak majikan yang bimbang dan keberatan mengambil bekas penagih sebagai pekerja. Jika diambil pun, mereka berhadapan dengan stigma negatif atau sering dikritik rakan sekerja yang membuatkan bekas penagih ini berasa terasing,” katanya.

Dalam kes seperti ini ada beberapa perkara yang boleh dilakukan doktor dan keluarga iaitu:

* Membantu pesakit mengukuhkan hubungan sosial yang sihat khususnya dengan rakan sekerja

* Sentiasa meyakinkan pesakit bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri

* Sentiasa bantu meningkatkan motivasi pesakit dengan memberi pujian serta komen positif terhadap kelebihan mereka

* Memberi dorongan untuk meningkatkan keyakinan pesakit terutama apabila mereka berhadapan dengan masalah atau kurang bersemangat

* Sentiasa bersedia meminjamkan telinga mendengar masalah atau keluhan pesakit

Ibu bapa mestilah berfikiran positif dengan menggalakkan anak mendapatkan rawatan sama ada sebagai pesakit luar, pesakit dalam wad atau penjagaan (penahanan) jangka panjang. Pada masa sama mereka juga perlu bersikap realistik kerana perubahan tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata apatah lagi jika anak sudah lama menagih.

Perunding Psikiatri Hospital Permai Pakar Psikiatri, Johor Bahru, Dr Sivakumar Thurairajasingam, antara program rawatan yang diamalkan kini ialah terapi pemerhatian harian (DOT). Melalui kaedah ini pesakit akan diberikan ubat (penggantian dadah) yang boleh dibawa balik. DOT memberi peluang pesakit bertanggungjawab menjaga diri sendiri (sepanjang tempoh rawatan), menggalakkan mereka kembali ke pangkuan masyarakat dengan mengurangkan kekerapan ke klinik yang sekali gus menjimatkan masa dan memudahkan pengurusan ketagihan.

Bagaimanapun katanya, ada pesakit yang menyalahgunakan kemudahan ini dengan menjual ubat kepada orang lain, risiko pengambilan dos berlebihan yang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan dan isu kepatuhan pengambilan ubat.

“Kaedah rawatan berbeza antara pesakit, bergantung kepada kesesuaian dan sikap tanggungjawab mereka. Dalam tempoh ini mereka memerlukan persekitaran yang akrab di dalam keluarga. Keluarga atau pasangan mesti memantau pesakit mengambil ubat dan turut serta dalam mana-mana perjumpaan sama ada dengan doktor atau kumpulan sokongan.

“Malah mereka juga perlu bersedia berjumpa doktor tanpa kehadiran pesakit kerana ia boleh memberi gambaran yang lebih baik terhadap perkembangan terapi. Jangan putus asa, selagi anda berusaha peluang untuk sembuh dan menjalani kehidupan yang normal sentiasa ada,” katanya.

Tanda anak menagih

* Mata dan gerak bahasa badan berubah.

* Penagih mengambil masa lebih lama untuk mencapai orgasma.

* Lihat kesan suntikan.

* Hidung kerap berdarah.

* Kesan lebam pada bibir atau jari.

* Lihat kesan kerosakan dan lubang di celah gigi.

* Lihat jika ada kesan cat pada badan atau bajunya.

* Perubahan emosi yang ketara dan tidak stabil.

* Lebih suka mengasingkan diri dan tidak banyak bercakap.

* Motivasi merosot, pencapaian pelajaran menurun.

* Barang di rumah kerap hilang.

* Kelompok kawan berubah dan menjauhkan diri.

* Ada serbuk putih seperti bedak di bilik anak atau barang yang mencurigakan.



Masalah perut buncit

Masalah perut buncit


DALAM bab jaga badan, wanita memang lebih ghairah dan bersungguh-sungguh, tidak kira berapa pun usia mereka. Berbeza dengan lelaki, terutama yang berkahwin dan ada anak, selagi mereka selesa walaupun berat badan serta saiz pinggang makin bertambah, soal menjaga badan tidak menjadi keutamaan.

Boleh dikatakan setiap wanita cemburu melihat wanita lain yang dapat mengekalkan kelangsingan badan meskipun tiga empat kali melahirkan anak.

Si suami pula bangga memiliki isteri yang cantik bergaya. Malah, mereka menjadi antara pengkritik utama apabila badan isteri makin membesar.

Tidak salah rasanya jika lelaki meniru sedikit tabiat wanita yang cemburu melihat kecantikan badan orang lain. Perasaan ini sedikit sebanyak boleh menjadi penggerak kepada seseorang untuk menjaga badan melalui kawalan pemakanan dan bersenam, iaitu cara yang jauh lebih baik berbanding pengambilan produk mengurangkan berat badan.

Usaha ke arah ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan tahap kesihatan seseorang. Pakar perubatan di seluruh dunia sependapat bahawa pada semua peringkat umur (termasuk remaja) wanita secara umumnya lebih sihat berbanding lelaki.

Kajian di Amerika Syarikat mendapati daripada 15 punca utama kematian, lelaki mendahului wanita kecuali bagi penyakit Alzheimer (nyanyuk).

Perkara ini mungkin juga disebabkan lelaki tidak sempat mencapai tahap umur untuk mendapat Alzheimer kerana rata-rata lelaki mati lima tahun lebih awal daripada wanita!

Antara ancaman kesihatan utama dialami sekarang ialah penyakit gaya hidup disebabkan terlebih makan dan kurang bersenam.

Bagi wanita, meskipun jarang bersenam, mereka lebih banyak bergerak ketika melakukan kerja rumah, kata Ketua Program Pendidikan Jasmani, Jabatan Kesihatan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ani Mazlina Dewi Mohamed.

“Sikap lelaki yang lebih banyak berehat turut menyumbang kepada masalah perut buncit, terutama yang berkahwin. Perut buncit adalah petanda awal tahap kepada banyak risiko kesihatan kerana lemak yang terkumpul pada pinggang boleh menjejaskan fungsi organ di perut,” katanya.

Malah, lemak di pinggang yang juga dipanggil lemak viseral dikaitkan dengan masalah kolesterol tinggi, trigliserida tinggi, tekanan darah tinggi dan terlalu banyak insulin. Pakar perubatan juga menggelarnya ‘lemak pembunuh’.

Lemak di pinggang lebih berbahaya berbanding tempat lain kerana ia meningkatkan risiko untuk mendapat:

# Penyakit jantung

# Kencing manis

# Sindrom metabolik

# Masalah pundi kencing

# Tekanan darah tinggi

# Kanser usus

Bagi wanita yang ada suami begini, mereka perlu menjadi penggerak dengan mengajak suami melakukan aktiviti cergas. Malah, mereka boleh menggunakan anak sebagai ‘umpan’ untuk bersenam atau setidak-tidaknya berjalan di sekitar taman perumahan.

“Ada kala lelaki, terutama jenis pasif, malu hendak berjoging sendirian. Jika ini masalahnya, ajak anak dan isteri menemani anda.

“Ramai cepat bosan apabila bersenam seorang diri dan akibatnya mereka berhenti melakukan senaman sebelum hasilnya boleh dilihat.

“Selain itu isteri dan anak boleh merangsang semangat suami untuk bersenam dengan memberi kasut atau pakaian sukan, raket, keahlian pusat kesihatan (gimnasium) atau peralatan senaman kepadanya sempena Hari Bapa.

“Ia lebih praktikal berbanding memberi jam tangan, minyak wangi atau tali leher. Malah, secara tidak langsung ia memberitahu suami bahawa keluarga mahukan dia lebih sihat,” katanya.

Ani Mazlina berkata, sampai masa lelaki harus berkongsi tanggung jawab dalam memastikan kesihatan diri dan keluarga.

Jika susah bersenam sendirian, anda boleh memilih aktiviti cergas yang boleh dilakukan bersama keluarga seperti bermain badminton, berbasikal, berenang atau berjalan cepat di sekitar kawasan perumahan.

Jika tidak sempat melakukan aktiviti ini pada waktu petang, anda boleh kunjungi pusat permainan yang dibuka hingga larut malam seperti gelanggang futsal atau bowling.

Tidak kira apa aktiviti dipilih, ia seharusnya menyeronokkan, memberi kesan positif kepada kesihatan (fizikal dan mental) serta dapat mengeratkan hubungan keluarga.

Ancaman kesihatan pada lelaki

Tidak kira di negara manapun, wanita memberi lebih keutamaan kepada kesihatan suami dan anak. Meskipun diberi lebih perhatian, lelaki meletakkan kesihatan diri di tempat terakhir.

Ramai menganggap, selagi boleh berfungsi dan ada sifat kelelakian, lelaki berasakan mereka cukup sihat hinggalah dibuktikan sebaliknya.

Kenapa lelaki boleh mati cepat? Lelaki sebenarnya cukup liat berjumpa doktor dan biasanya apabila penyakit dikesan, keadaan mereka serius.

Malah, jika anda perhatikan peserta seminar atau forum kesihatan (percuma atau berbayar) kebanyakannya adalah wanita.

Berasa sihat tidak bermakna anda benar-benar sihat. Bagi lelaki, enam jenis penyakit menanti sebaik anda melangkah umur 40 tahun jika anda masih meneruskan gaya hidup dan tabiat pemakanan kurang sihat. Enam penyakit ini adalah penyakit lazim dan boleh dielak.

# Penyakit kardiovaskular — Penyakit jantung adalah pembunuh utama di dunia. Risiko lelaki mendapat penyakit jantung lebih tinggi berbanding wanita. Bagi wanita, risiko ini sama dengan lelaki selepas mereka menopaus.

Penyakit jantung disebabkan pengumpulan plak dalam salur darah dan proses ini berlaku sejak kita kecil. Ini sebabnya ada pakar menyarankan kita menjalani pemeriksaan kolesterol seawal umur 25 tahun bagi setiap lima tahun.

Kekerapan pemeriksaan ini bertambah apabila usia meningkat. Lelaki pada umumnya perlu berusaha lebih keras untuk mencegah penyakit jantung dan strok.

Jika paras kolesterol anda tinggi, anda perlu bersenam 30 minit sehari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Bagaimanapun, saranan terbaru ialah bersenam sekurang-kurangnya lima hari seminggu. Jika merokok, anda mesti berhenti bagi memudahkan kawalan kolesterol dan mengurangkan risiko serangan jantung.

# Kanser paru-paru — Penyakit ini disumbangkan khusus (90 peratus) oleh asap rokok. Jika anda merokok, segera berhenti. Jika sukar melakukannya sendiri, dapatkan bantuan doktor dari mana-mana klinik berhenti merokok.

Kanser paru-paru merebak cepat dan keadaan biasanya serius sebelum menunjukkan gejala. Sedihnya, sehingga kini peratus kejayaan rawatan yang ada kini masih rendah.

# Kanser prostat — Ini penyakit khas untuk lelaki, terutama selepas berusia 50 tahun. Prostat adalah kelenjar berbentuk kacang walnut yang terletak di belakang zakar, ia berfungsi menghasilkan cecair untuk ejakulasi.

Kanser prostat sangat lazim di kalangan lelaki. Bagaimanapun, berita baiknya, ia jarang menyebabkan kematian kerana kanser ini tumbuh dengan perlahan dan bersifat benigna (tidak merebak).

# Kemurungan dan bunuh diri — Meskipun tiada data khas jumlah lelaki murung di negara kita, semakin ramai mengalami masalah ini. Malah sama seperti wanita, lelaki yang dilanda kemurungan ada kecenderungan atau setidak-tidaknya pernah terfikir untuk membunuh diri.

Fitrah lelaki yang lebih suka menyimpan masalah turut menyumbang kepada perkara ini. Apabila tertekan, lelaki tidak menangis atau sedih, sebaliknya menjadi pemarah atau bertindak agresif. Kajian mendapati walaupun lebih ramai wanita cuba membunuh diri, lelaki murung berjaya melaksanakan misi ini.

Jadi jika anda berasa murung, jangan pendam. Meluahkan masalah dan tekanan bukan menunjukkan anda lemah, sebaliknya ia tanda anda masih boleh berfikir secara rasional dan sayangkan keluarga.

# Kencing manis — Ini antara ancaman besar di negara kita kerana semakin ramai golongan muda menghidap kencing manis. Gula berlebihan dalam badan ibarat racun kerana ia merosakkan salur darah dan saraf, terutama pada kaki.

Kencing manis juga boleh menjadi perangsang kepada pelbagai penyakit kronik lain seperti serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang, kebutaan dan pemotongan kaki (yang diakibatkan gangren iaitu kematian sel kerana tidak menerima bekalan oksigen dan nutrien).

# Mati pucuk — Pakar urologi berkata, mati pucuk atau erektil disfungsi (ED) boleh dijadikan petunjuk utama kepada pelbagai masalah kesihatan lain seperti kencing manis, kemurungan dan sakit jantung.

Mengalami ED bermakna aliran darah di seluruh badan kurang lancar dan kini ia dianggap petanda awal untuk sakit jantung.

Dua pertiga daripada lelaki berumur 70 tahun ke atas ada masalah ini dan hampir 40 peratus lelaki dalam lingkungan usia 40 tahun mengalami ED.

Lelaki yang ada masalah ED bukan saja kurang minat terhadap seks, malah kebanyakannya dilanda kemurungan sehingga menjejaskan kualiti hidup.

Ani Mazlina berkata, semua masalah kesihatan di atas boleh dicegah; kaedah pencegahan terbaik dan murah ialah melalui senaman, menjaga pemakanan serta belajar menangani tekanan.

Panduan untuk cergas

“Jangan ambil jalan mudah untuk kurus dengan menggunakan produk yang tiada kajian saintifik serta tidak diketahui kandungannya.

“Walaupun pengguna boleh melihat perubahan dengan cepat, produk mengandungi bahan terlarang boleh memberi kesan terhadap hati, jantung dan buah pinggang.

“Kita tidak akan dapat lihat perubahan mendadak dengan bersenam. Proses membakar lemak dan membentuk otot mengambil masa.

“Kebanyakan orang berhenti bersenam dan hilang semangat kerana kecewa apabila tidak melihat perubahan fizikal, sama ada bentuk atau berat badan.

“Perubahan fizikal ini boleh dilihat jika anda melakukan senaman dengan betul. Senaman anda perlu ada beberapa komponen iaitu ketahanan, kekuatan dan keanjalan.

“Anda juga perlu melakukan senaman aerobik (dilakukan tanpa henti selama 20 hingga 30 minit) untuk meningkatkan kekuatan jantung,” katanya.

Meskipun kita tidak melihat perubahan fizikal, badan kita sebenarnya mendapat kesan positif daripada senaman dilakukan.

Ini termasuk pemecahan lemak, otot menjadi lebih kuat dan anjal, tekanan darah dan paras gula dalam darah menurun, keseimbangan badan meningkat dan fikiran berasa lebih tenang.

“Senaman yang dibuat pula mesti ada peningkatan daripada segi masa dan halangan; bukan sebaliknya. Ramai orang mahu kesan cepat dengan melakukan senaman selama mungkin pada kali pertama. Akibatnya mereka berasa sakit badan dan berhenti bersenam.

“Jika minggu pertama anda berjoging selama 20 minit setiap hari, tingkatkan kepada 30 atau 40 minit pada minggu kedua.

“Hanya dengan cara ini anda boleh melihat perubahan diharapkan. Jangan bandingkan diri anda dengan orang lain. Lakukan senaman mengikut kemampuan masing-masing.

“Selain itu, ajak anak bersenam bersama. Berdasarkan pemerhatian saya, hampir 50 peratus kanak-kanak sekolah rendah di negara kita ada masalah berat badan berlebihan kerana tidak diajar kepentingan senaman.

“Lebih menyedihkan, ada sekolah menggunakan waktu pendidikan jasmani untuk mata pelajaran lain,” katanya.

Menurut Ani Mazlina, ada banyak cara untuk meningkatkan aktiviti fizikal, sama ada di rumah atau pusat beli-belah. Antaranya ialah:

# Ajak anak berjalan di kawasan perumahan pada waktu pagi atau petang; sekurang-kurangnya 20 minit sehari.

# Lakukan kerja rumah bersama-sama, termasuk mencuci kereta atau membersihkan halaman.

# Temani anak bermain di taman permainan, dan manfaatkan waktu ini dengan berjalan mengelilingi taman berkenaan beberapa kali.

# Turun naik tangga di rumah beberapa kali sehari. Tingkatkan kekerapan selepas beberapa sesi.

# Gunakan tangga apabila mengunjungi pusat beli-belah.

# l Sertai program sukan di tempat anda.

# Ketika menonton televisyen, anda boleh melakukan banyak senaman seperti berjalan setempat, tekan tubi, bangun tubi, berbaring sambil membuat pergerakan seperti mengayuh basikal atau mengangkat dumbel.

“Kalau anda tiada masa untuk bersenam selama 30 minit pada satu masa, pecahkan ia kepada beberapa sesi. Badan kita ada ‘memori’ untuk menyimpan jumlah senaman yang kita lakukan pada satu hari.

“Jadi kita masih mendapat manfaatnya walaupun senaman itu dilakukan dalam tempoh singkat,” katanya.

Walaupun tujuan utama anda bersenam adalah untuk mendapat bentuk badan menarik, bagi lelaki, terutama yang berdepan isu ED, anda mendapat manfaat tambahan kerana senaman melancarkan aliran darah, sekali gus membantu mengurangkan masalah anda!


Cara tingkat aktiviti fizikal

> Ajak anak berjalan di kawasan perumahan pada waktu pagi atau petang.

> Lakukan kerja rumah bersama-sama.

> Temani anak bermain di taman permainan, dan manfaatkan waktu ini dengan berjalan mengelilingi taman berkenaan beberapa kali.

> Turun naik tangga di rumah beberapa kali sehari. Tingkatkan kekerapan selepas beberapa sesi.

> Gunakan tangga apabila mengunjungi pusat beli-belah.

> Sertai program sukan di tempat anda.

> Ketika menonton televisyen, anda boleh melakukan banyak senaman.