Friday, November 13, 2009

Ubat Antiviral (H1N1) RM80 sekotak



KUALA LUMPUR: Orang ramai kini boleh mendapatkan ubat antiviral bagi merawat Influenza A (H1N1) dengan harga tidak melebihi RM80 sekotak di semua rangkaian klinik atau hospital yang menyertai kempen Klinik Cegah dan Rawat Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata setakat ini, 85 klinik dan hospital swasta di seluruh negara sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam kempen berkenaan.

Beliau berkata, menerusi kempen itu, klinik atau hospital swasta yang menyertainya akan diberi harga istimewa bagi membeli ubat antiviral FluHalt (Oseltamivir Phospate) keluaran Syarikat Ranbaxy (Malaysia) Sdn Bhd.

“Apabila kita beri kata putus, iaitu klinik jangan jual harga antiviral ini lebih tinggi daripada RM80, saya rasa dengan jelas orang ramai boleh mendapat antiviral ini dengan lebih murah. Satu ketika dulu harganya meningkat sehingga RM180.

“Kita rasa ini musim pandemik dan dengan sokongan `pharmaceutical drug supplier’, kita dapat mengurangkan harga ini. Saya harap klinik mendapatkan bekalan dan memberi rawatan dengan cepat kepada pesakit H1N1,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen klinik cegah dan rawat influenza A (H1N1) di sini, semalam.

Selain tawaran harga rendah, klinik atau hospital swasta yang menyertai kempen ini juga digalak mengenakan caj minimum bagi konsultasi kes influenza-like illness (ILI) bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan pesakit.

Liow turut menegaskan tindakan akan dikenakan terhadap klinik atau hospital swasta yang enggan memberi rawatan kepada pesakit H1N1, sebaliknya meminta pesakit dirujuk di klinik atau hospital kerajaan.

“Sebelum ini, ramai pesakit yang pergi ke klinik dan hospital swasta diminta merujuk kepada hospital kerajaan.

“Saya harap ini tidak berlaku lagi. Sudah tiba masanya semua klinik dan hospital swasta memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan menangani wabak H1N1,” katanya.

Alriz, sebuah syarikat Bumiputera dan Ranbaxy (Malaysia) Sdn Bhd, melancarkan kempen bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan rawatan bagi Influenza A(H1N1) dengan lebih mudah dan pada bayaran lebih rendah, di klinik swasta di seluruh negara.

Sebuah laman web pelbagai bahasa www.h1n1.net.my disediakan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai H1N1 serta membolehkan mereka mengesan klinik peserta yang terdekat dengan kawasan mereka.

Liow berkata Malaysia sudah membuat tempahan awal bagi vaksin H1N1 dan bekalan pertama 400,000 dos akan tiba pada Oktober, manakala yang kedua pada Januari.



No comments:

Post a Comment