Friday, November 13, 2009

Dadah :: tanda - tanda dan rawatan



SELALU kita tertanya bagaimana seorang penagih boleh hilang pertimbangan sehingga sanggup bertindak mencuri malah mengugut dan ada kala mencederakan ibu bapa sendiri semata-mata mahu mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Penagih dadah tidak kisah apa pun berlaku kepada ibu bapa atau ahli keluarga yang terpaksa menanggung penderitaan dan malu. Disumpah seranah pun mereka sanggup asalkan dapat melepaskan gian. Inilah yang dialami semua orang apabila ada ahli keluarga menagih dadah.

Dadah sama ada dalam bentuk semula jadi (seperti kanabis) atau sintetik memberi kesan buruk kepada penagih terutama ke atas struktur badan (dan organ), fungsi, menjadi agen perangsang kepada pemikiran, perasaan dan perlakuan seseorang.

Penagihan dadah adalah masalah global, tidak kira di mana pun kita akan mendengar cerita dan pengalaman penderitaan yang sama. Laporan Dadah Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu 2007, mencatatkan kira-kira 200 juta atau lima peratus daripada penduduk dunia (satu daripada 200 orang) mengambil dadah. Di Asia masalah utama ialah penagihan opioid seperti heroin, perangsang amfetamin dan kanabis.
 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan bagi setiap penagih yang dikesan ada empat lagi yang tidak dilaporkan. Ini bermakna jumlah sebenar penagih dadah di Malaysia boleh menjadi sejuta orang berbanding hanya 250,000 yang dilaporkan.

Kajian Yayasan Perlindungan Jenayah Malaysia mendapati kebanyakan penagih dadah di negara ini mula mengenali dadah dalam lingkungan usia 13 hingga 15 tahun dan 71 peratus daripada penagih dadah baru terdiri daripada golongan muda antara 19 hingga 39 tahun.

Sekali terperangkap dengan dadah, penagih hilang wawasan dan hala tuju hidup. Mereka tidak kisah mengenai apa juga perkara, termasuk soal makan minum, masa depan atau maruah keluarga, kerana yang penting ialah dos dadah seterusnya.

Sebaik terperangkap dalam dunia penagihan sehinggalah benar-benar sembuh, seseorang penagih dadah sebenarnya mengalami kerencatan emosi yang menyebabkan mereka hilang rasional dan rasa belas, kata Perunding Terapi Penagihan, Chris Sekar.

“Contohnya jika seseorang menagih selama 10 tahun yang bermula pada umur 17 tahun, tahap emosi individu berkenaan sama seperti ketika dia masih remaja walaupun sudah menjangkau umur 27 tahun. Kerencatan emosi ini akan berterusan selama mereka menagih dan hanya akan 'bersambung' apabila berhenti mengambil dadah.

“Maknanya tahap pemikiran dan emosi mereka tidak akan matang walaupun usia meningkat. Dalam fasa ini apa yang ada dalam fikiran mereka hanyalah dadah dan cara mendapatkannya. Bagaimanapun mereka memang handal bercakap seolah-olah tahu semua perkara di dalam dunia ini. Ini adalah antara taktik untuk melindungi kegiatan mereka.

“Memanglah apabila anak menagih, seluruh keluarga mendapat nama buruk. Namun jangan anggap anak kita jahat. Mereka dilahirkan sebagai anak yang baik kerana perlakuan buruk itu hanya datang selepas menagih dadah. Itu kesilapan dalam hidup mereka dan tiada seorang pun di dunia ini yang tidak berbuat silap. Malah kita sebagai orang dewasa dan ibu bapa sendiri lebih dulu melakukan kesilapan.

“Banyak keluarga yang mengadu sudah tidak tahan dengan masalah ditimbulkan penagih. Sikap inilah yang kita tidak mahu kerana apabila keluarga berputus asa, siapa lagi yang dapat membantu penagih untuk kembali ke pangkal jalan sedangkan mereka amat memerlukan sokongan. Inilah sebabnya penagihan dadah boleh dikategorikan sebagai penyakit keluarga dan bukan individu.

“Sokongan dan bantuan keluarga adalah sebahagian daripada komponen rawatan. Inilah sebabnya ketika pesakit memerlukan rawatan perubatan, keluarga pula diberikan sokongan dari segi persediaan mental,” katanya pada Persidangan Perubatan Ketagihan Kebangsaan Ke-5 anjuran bersama Persatuan Perubatan Penagihan Malaysia, Persatuan Pengamal Perubatan Persendirian Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia dan Schering Plough.

Menurutnya, kebarangkalian seseorang penagih untuk menagih kembali amat tinggi, walaupun sudah beberapa tahun tidak menyentuh dadah. Keluarga perlu sepakat untuk membantu penagih. Biasanya nenek, isteri atau teman wanita 'merosakkan' rawatan dengan memberi wang kepada penagih. Perkara ini perlu dihentikan beberapa bulan sepanjang mereka menjalani rawatan.

“Setiap sesi rawatan perlu membabitkan ahli keluarga kerana penagihan itu sendiri memusnahkan institusi kekeluargaan. Rumah tangga musnah, anak dan isteri terabai serta menderita, kasih sayang hilang, timbul perasaan benci dan sakit hati. Bagaimanapun usaha ini bukan mudah. Justeru itulah keluarga juga memerlukan sokongan terutama daripada kumpulan atau ahli keluarga lain yang mengalami nasib sama,” katanya.

Tanda anak menagih atau menagih semula

Ada kalanya ibu bapa tidak sedar anak mereka menagih dadah. Sebenarnya tanda dan gejala penagihan mudah dikesan. Antara tanda yang biasa ditunjukkan jika anak menagih ialah:

* Mata dan gerak bahasa badan berubah - Penagih mempunyai mata merah, nampak mengantuk dan anak mata mengecil. Perhatikan jika anak buang air kecil. Jika cepat bermakna dia bersih dan sekiranya lama di dalam tandas, mungkin menandakan dia mengambil dadah kerana dadah akan mengetatkan pundi kencing yang menyebabkan proses buang air kecil menjadi lama.

* Penagih mengambil masa lebih lama untuk mencapai orgasma berbanding biasa.

* Lihat kesan suntikan. Jika anak mengambil dadah melalui suntikan, kesan boleh dilihat pada pelipat lengan atau kaki.

* Hidung kerap berdarah terutama bagi penghidu kokain kerana ia boleh ‘memakan dan merosakkan’ lapisan sel dalam hidung.

* Kesan lebam pada bibir atau jari. Ini menandakan anak anda mengambil dadah menggunakan salur kaca panas atau paip logam.

* Lihat kesan kerosakan dan lubang di celah gigi. Heroin boleh ‘memakan’ dan mereputkan gigi penagih.

* Lihat jika ada kesan cat pada badan atau bajunya. Bau bahan kimia atau kerap selesema juga menjadi petanda anak anda ketagih pada bau gam, cat atau bahan kimia kegunaan rumah yang boleh mendatangkan kesan khayal.

* Perubahan emosi yang ketara dan tidak stabil, sama ada menjadi terlalu gembira, asyik ketawa, berperangai buruk atau menjadi pendiam dan tidak mahu melakukan aktiviti.

* Lebih suka mengasingkan diri dan tidak banyak bercakap kerana bimbang rahsia terbongkar. Bagaimanapun penagih ganja suka bunyi bising, jadi mereka mungkin memasang radio atau televisyen sekuat hati.

* Motivasi merosot, pencapaian pelajaran menurun, minatnya beralih kepada perkara yang tiada kaitan dengan pelajaran dan aktiviti lain. Walaupun tidak ponteng tetapi penagih gagal memberi tumpuan di bilik darjah atau menyiapkan kerja sekolah.

* Barang di rumah kerap hilang.

* Kelompok kawan berubah dan menjauhkan diri daripada rakan baiknya yang dulu.

* Ada serbuk putih seperti bedak di bilik anak atau barang yang mencurigakan. Bau bilik juga mungkin menjadi wangi akibat penggunaan semburan bagi melindungi bau dadah.

Tanda-tanda menagih semula:

* Tidak lagi menghadiri perjumpaan dengan kumpulan sokongan atau sesi kaunseling

* Memperbaharui ‘kontrak’ dengan rakan-rakan lama (penagih) terutama jika keluarga menolak kehadiran mereka. Pesakit akan pergi ke kelompok kawan-kawan penagih yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka.

* Mulai berbohong (berbohong dan penagihan boleh diibaratkan seperti irama dengan lagu)

* Bersikap kritikal dan berprasangka

* Degil dan tetap mahu melakukan perkara yang dilarang sepanjang tempoh pemulihan (contohnya minum alkohol atau mendesak diberikan dadah pada hujung minggu)

* Tidak boleh diajar. Biasanya penagih mendakwa mereka tahu semua perkara. Sifat ini biasa ditunjukkan di kalangan penagih yang menagih semula dan menyebabkan proses pemulihan semakin sukar.

* Berlagak dan suka cakap besar.

Rawatan

Perunding Psikologi Klinikal dan Kaunselor Pusat Perubatan Sime Darby, Alexander Ng berkata, setiap penagih yang berjumpa doktor mengakui mahu 'sembuh' dan hidup sebaik orang lain. Bagaimanapun proses sembuh atau bebas daripada pengaruh dadah amat sukar, apatah lagi jika keluarga turut membuang mereka.

Hanya 10 hingga 15 peratus saja yang mempunyai semangat kuat untuk mengubah hidup mereka. Meskipun menjalani rawatan, peluang untuk menagih semula sentiasa ada. Antara faktor yang menyebabkan perkara ini ialah:

* Tidak mendapat sokongan keluarga (dalam rawatan dan konteks sosial), keluarga tidak menerima mereka kembali dan memandang negatif terhadap perubahan yang ingin dilakukan

* Tidak patuh kepada pelan rawatan

* Tidak patuh kepada program penjagaan selepas tamat rawatan. Program penjagaan ini bukan hanya setahun dua tetapi sepanjang hayat. Bertemu doktor dan psikiatri secara berkala juga penting untuk membantu penagih bebas daripada dadah.

Katanya, untuk kembali normal pesakit perlu kuat semangat, bersedia membuat perubahan dan melaksanakan pelan rawatan secara bersungguh-sungguh dengan sokongan pengamal perubatan serta keluarga terutama ibu bapa. Dalam tempoh ini pesakit perlu mengekalkan perlakuan baik sehingga ia menjadi gaya hidup mereka.

“Individu yang lemah semangat lebih mudah untuk terjerumus semula ke dalam kancah dadah. Doktor perlu memberi lebih perhatian kepada pesakit seperti ini dengan membantu menaikkan semangat, mendengar masalah, mengambil berat, bertanya perihal pesakit dan yakinkan bahawa mereka boleh berubah.

“Dadah boleh membuat otak penagih terencat. Justeru itulah mereka menunjukkan perlakuan aneh termasuklah cara berpakaian. Ada penagih berumur 50-an yang berpakaian ‘hip-hop’ seperti anak mudah. Lebih lama seseorang terperangkap dalam cengkaman dadah, lebih sukar untuk merawat dan mengubah tabiat serta gaya hidupnya.

“Dalam proses rawatan, kerjasama majikan amat penting kerana mereka yang tiada pekerjaan lebih mudah untuk menagih semula. Bagaimanapun banyak majikan yang bimbang dan keberatan mengambil bekas penagih sebagai pekerja. Jika diambil pun, mereka berhadapan dengan stigma negatif atau sering dikritik rakan sekerja yang membuatkan bekas penagih ini berasa terasing,” katanya.

Dalam kes seperti ini ada beberapa perkara yang boleh dilakukan doktor dan keluarga iaitu:

* Membantu pesakit mengukuhkan hubungan sosial yang sihat khususnya dengan rakan sekerja

* Sentiasa meyakinkan pesakit bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri

* Sentiasa bantu meningkatkan motivasi pesakit dengan memberi pujian serta komen positif terhadap kelebihan mereka

* Memberi dorongan untuk meningkatkan keyakinan pesakit terutama apabila mereka berhadapan dengan masalah atau kurang bersemangat

* Sentiasa bersedia meminjamkan telinga mendengar masalah atau keluhan pesakit

Ibu bapa mestilah berfikiran positif dengan menggalakkan anak mendapatkan rawatan sama ada sebagai pesakit luar, pesakit dalam wad atau penjagaan (penahanan) jangka panjang. Pada masa sama mereka juga perlu bersikap realistik kerana perubahan tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata apatah lagi jika anak sudah lama menagih.

Perunding Psikiatri Hospital Permai Pakar Psikiatri, Johor Bahru, Dr Sivakumar Thurairajasingam, antara program rawatan yang diamalkan kini ialah terapi pemerhatian harian (DOT). Melalui kaedah ini pesakit akan diberikan ubat (penggantian dadah) yang boleh dibawa balik. DOT memberi peluang pesakit bertanggungjawab menjaga diri sendiri (sepanjang tempoh rawatan), menggalakkan mereka kembali ke pangkuan masyarakat dengan mengurangkan kekerapan ke klinik yang sekali gus menjimatkan masa dan memudahkan pengurusan ketagihan.

Bagaimanapun katanya, ada pesakit yang menyalahgunakan kemudahan ini dengan menjual ubat kepada orang lain, risiko pengambilan dos berlebihan yang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan dan isu kepatuhan pengambilan ubat.

“Kaedah rawatan berbeza antara pesakit, bergantung kepada kesesuaian dan sikap tanggungjawab mereka. Dalam tempoh ini mereka memerlukan persekitaran yang akrab di dalam keluarga. Keluarga atau pasangan mesti memantau pesakit mengambil ubat dan turut serta dalam mana-mana perjumpaan sama ada dengan doktor atau kumpulan sokongan.

“Malah mereka juga perlu bersedia berjumpa doktor tanpa kehadiran pesakit kerana ia boleh memberi gambaran yang lebih baik terhadap perkembangan terapi. Jangan putus asa, selagi anda berusaha peluang untuk sembuh dan menjalani kehidupan yang normal sentiasa ada,” katanya.

Tanda anak menagih

* Mata dan gerak bahasa badan berubah.

* Penagih mengambil masa lebih lama untuk mencapai orgasma.

* Lihat kesan suntikan.

* Hidung kerap berdarah.

* Kesan lebam pada bibir atau jari.

* Lihat kesan kerosakan dan lubang di celah gigi.

* Lihat jika ada kesan cat pada badan atau bajunya.

* Perubahan emosi yang ketara dan tidak stabil.

* Lebih suka mengasingkan diri dan tidak banyak bercakap.

* Motivasi merosot, pencapaian pelajaran menurun.

* Barang di rumah kerap hilang.

* Kelompok kawan berubah dan menjauhkan diri.

* Ada serbuk putih seperti bedak di bilik anak atau barang yang mencurigakan.



No comments:

Post a Comment